HomePendidikanKurang minat belajar bukan bermakna keciciran - Timbalan Menteri Pendidikan

Kurang minat belajar bukan bermakna keciciran – Timbalan Menteri Pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak mengehadkan pilihan kepada pelajar untuk mendapatkan pelbagai kemahiran tinggi selain akademik agar memenuhi semua sektor secara seimbang.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin mengulas data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mendapati lebih 72 peratus rakyat Malaysia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas SPM.
Beliau berpendapat rakyat perlu membuka mata bahawa setiap pelajar memiliki keupayaan masing-masing sama ada akademik atau kemahiran dan tidak terus menilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.
“Kementerian ada program yang berasaskan TVET, jika kurang minat belajar bukan semestinya keciciran tetapi ada isu lain.
“Kita tidak mahu pencapaian akademik semata-mata, soal kemahiran dan keupayaan mereka perlu diutamakan juga.
“Kita ada kolej vokasional, banyak sekolah terbabit dalam TVET, produk mereka memang dahsyat.
“Jika ada data yang kata tidak minat belajar, tetapi mereka masih menceburi keusahawanan itu juga sebahagian daripada modal insan.
“Kita mahu lahirkan pelajar berkemahiran untuk mengisi pasaran pekerjaan dan cipta peluang, kita mahu generasi baharu lebih survive,” katanya kepada media.
Mohamad berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Deklamasi Sajak Koperasi Sekolah 2022 Peringkat Kebangsaan di Wisma Ungku Aziz Petaling Jaya.
Turut hadir, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah.
Baru-baru ini Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) mula bimbang apabila data 70 peratus lepasan SPM dikatakan kurang minat meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.
IPTS yang terdiri daripada 37 universiti, 20 kolej universiti, 418 kolej dan tujuh kampus cawangan luar negara di Malaysia dikatakan mengalami kerugian berterusan di dalam keadaan situasi ekonomi global juga tidak stabil menjadikan ianya perniagaan yang kini tidak lagi mempunyai prospek keuntungan yang cerah.

Ada di antara pelajar mungkin dipengaruhi dengan mentaliti bahawa pendidikan tidak menjamin masa depan.

Tetapi yang pasti, ramai sedang berdepan dengan kekangan kewangan untuk meneruskan pembelajaran khususnya selepas PKP dan pandemik.

Situasi kewangan keluarga menyebabkan mereka bertindak untuk tidak meneruskan pengajian bagi survival keluarga.

Tiada siapa pun tahu sebab sebenar yang dialami seseorang individu.

Namun inisiatif kerajaan untuk meluaskan bidang TVET amat dipuji kerana negara akan mengurangkan kebergantungan kepada warga asing dalam sektor-sektor kemahiran.

Author

Pilihan Editor