KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak wanita kebangsaan perlu memperkuatkan barisan serangan menjelang aksi kedua Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Wanita 2022 menentang Indonesia, esok.
Selepas terikat tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi sulung semalam, Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan Jacob Joseph menggesa anak buahnya untuk mempertajamkan jentera serangan dengan segera pada aksi Kumpulan A di Manila, Filipina.
Ia berikutan skuad negara masih buntu mencipta kemenangan selepas dibelasah 6-0 dan terikat tanpa jaringan ketika menentang Bangladesh pada aksi persahabatan di Dhaka, baru-baru ini.
“Pada perlawanan menentang Singapura, saya harap kita boleh dapat tiga mata, tapi kita dapat satu mata sahaja. Mereka agak kelam kabut, dari dari bahagian tengah sampailah penyerang kelam kabut, tiada pemain yang tenang, mungkin sebab perlawanan pertama.
“Masalah utama adalah penguasaan bola dari bahagian tengah ke bahagian tengah, terdapat kelompangan besar… dalam latihan hari ini, saya akan melakukan beberapa serangan balas pantas (latihan) ke zon serangan lawan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Jacob pada masa sama, mengakui skuad Indonesia tampak lebih bersedia ketika perlawanan berdepan Thailand semalam meskipun tewas 0-4.
Katanya Indonesia bermain dengan semangat kerja berpasukan yang tinggi yang perlu dicontohi oleh pasukan Malayan Tigress.
“Saya melihat pemain sangat komited dan bermain dalam satu pasukan dan sangat penting untuk pasukan kita mengatasi pemain Indonesia, kerana pertahanan mereka sangat kuat. Saya harap kita dapat mengutip mata dengan Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu, Jacob berkata kejohanan AFF akan dijadikan sebagai medan persediaan buat skuad kendaliannya untuk berdepan kelayakan Sukan Olimpik 2024 dan Sukan SEA Kemboja, pada tahun depan.
Selepas menentang Indonesia esok, Malaysia akan bertemu Filipina (8 Julai), juara terbanyak dan naib juara edisi 2019 Thailand (10 Julai) seterusnya Australia pada 12 Julai. – BERNAMA