CYBERJAYA: Kebanyakan pakar kecantikan dan estetik menghadapi kekangan untuk menjalankan prosedur perubatan estetik di premis berdaftar di tempat masing-masing kerana kekangan mendapatkan lesen Surat Tauliah dan Keistimewaan (LCP) Kementerian Kesihatan.
Pakar kecantikan Rossa White, Yoga Lin mengakui bukan mudah untuk memperoleh LCP malah menyifatkan ia seperti tidak adil bagi mereka yang lebih menumpukan kemahiran kecantikan berbanding perubatan.
“Doktor adalah doktor. Pakar estetik adalah pakar estetik. Kalau doktor, bukan profesional dalam bidang estetik, tetapi mereka juga mempelajari daripada orang lain tetapi memperoleh LCP dan boleh melakukan suntikan dan pembedahan.
“Hanya kerana doktor dapat lesen LCP, ia tidak adil bagi kami pakar kecantikan dan estetik.
“Jadi, apakah kaedah terbaik untuk industri seperti kami untuk jalankan prosedur suntikan untuk kecantikan, di mana kami boleh dapatkan LCP atau lesen berkaitan,” soalnya.
Beliau berkata demikian kepada MEDIA VARIASI pada Sesi Forum & Dialog Perubatan, Kecantikan dan Kesihatan di Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), KKM di sini.
Seramai 60 pemain industri kecantikan, perubatan dan kecantikan dari Lembah Klang menyertai forum ini.
Antara topik yang dibincangkan ialah produk selamat tanpa suntikan, mengenali produk selamat di pasaran, penipuan testimoni, beza antara pakar kecantikan dan doktor praktis kecantikan, ujian genetik untuk pengurusan kanser dan apa perlindungan untuk pengusaha jika berlaku kecelakaan kepada pengguna.
Selepas pembentangan panel, sesi petang pula dihadiri oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Farmasi Nasional (NPRA), Lembaga Kecantikan Negara dan sesi soal jawab.