HomeGaya HidupPakar genetik diperlukan bantu gaya hidup berkualiti

Pakar genetik diperlukan bantu gaya hidup berkualiti

CYBERJAYA: Negara disaran untuk mewujudkan lebih ramai pakar genetik bagi membantu setiap seorang rakyat memahami kepentingan latar belakang kesihatan diri dan keluarga ke arah menjalani gaya hidup berkualiti.

Secara rasionalnya, sudah tiba masanya ruang kerjaya dalam saintis genetik diperluas kerana pendedahan terperinci mengenai skop bidang berkenaan sekurang-kurangnya membantu menganalisis sejarah kesihatan.

Presiden Persatuan Genetik Global (GAOG), Prof Lim S W, berkata umum mengetahui kewujudan genetik, DNA (asid deosiribonukleik), namun tidak semua dapat memahami kepentingan dan gerak kerja gen dalam badan supaya sel berfungsi dengan betul.

“Sebenarnya, genetik berkait rapat dalam setiap seorang dalam kalangan kita. Ia memberi kita kefahaman bagaimana ia berlaku dan membantu membentuk gaya hidup berkualiti selain membuat anggaran risiko mendapat penyakit.

“Ini sebabnya kami hadir ke program untuk memberi kesedaran kepada orang awam memahami genetik khususnya remaja berminat bidang ini. Mereka berpeluang cerah dalam bidang ini.

“Sebenarnya Malaysia memerlukan pakar genetik lebih ramai kerana negara kekurangan kepakaran dalam bidang ini. Jika ia diperluas, Malaysia boleh menjadi tumpuan hab penjagaan kesihatan terbaik,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian Sesi Forum & Dialog Perubatan, Kecantikan dan Kesihatan di Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan (KKM), anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Selangor, di sini.

Menariknya, Lim berkata, kepakaran genetik bukan sahaja membantu dalam gaya hidup tetapi juga dalam industri kecantikan.

“Setiap orang mempunyai jenis kulit berbeza, jadi ia berkait rapat dengan genetik salasilah diri.

“Jadi, analisis genetik antara prosedur yang membantu melihat kesesuaian produk untuk diguna pakai.

“Mungkin jika awak kurang vitamin E, jadi awak memang memerlukan lebih vitamin E atau metabolisme awak cepat menyerap vitamin E, awak tak perlukan banyak pun,” katanya.

Untuk rekod, GAOG ditubuhkan pada Mei 2022 itu menyasarkan misi memberi kesedaran kepada masyarakat dalam menggalakkan sebarang kajian, latihan, perkongsian idea dan inspirasi melalui libat urus dalam semua bidang berkaitan genetik.

“Melalui kempen kesedaran secara berterusan seperti ini, itu sahaja kaedah membolehkan gaya hidup dapat diperkasakan lebih baik.

“Semua orang akan lebih memahami manfaat dan kepentingan genetik manusia sekali gus menghargai bagaimana ia boleh membantu dalam kehidupan dan kesihatan masing-masing,” katanya.

Author

Pilihan Editor