KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia buat pertama kali melancarkan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan di 42 penjara seluruh negara bagi membentuk keharmonian antara penghuni penjara dan warden.
Ketua Pengarah Penjara Datuk Nordin Muhamad berkata, kewujudan pusat tersebut dapat membawa budaya baharu dalam kalangan warga kerja Jabatan Penjara yang bukan lagi tempat untuk menghukum.
“Nelson Mandela berkata kalau nak tengok tamadun sesuatu bangsa, lihatlah bagaimana mereka melayan penghuni penjara.
“Jika pegawai dan penghuni boleh berkomunikasi dengan baik, menunjukkan contoh yang baik dan sikap ini akan secara langsung mendidik penghuni agar menghormati orang lain apabila mereka bebas nanti dan tiadalah jenayah berulang berlaku.
“Selaras dengan matlamat ketiga sistem kepenjaraan yang ditetapkan dalam Mandela Rules iaitu tujuan penjara adalah memastikan keselamatan masyarakat terlindung daripada menjadi musuh masa depan.
“Kita mahu jadikan penjara ini sebagai persekitaran yang sihat, banduan yang berkomunikasi dan mewujudkan budaya manusia beradab… kita tidak mahu elemen penjara itu dibawa keluar iaitu jika kita melayan mereka seperti penjenayah, mereka juga akan keluar seperti penjenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya di Ibu Pejabat Jabatan Penjara di sini hari ini.
Nordin berkata, seramai 76 pegawai dan 1,050 anggota berjaya melengkapkan sesi latihan yang dikendalikan oleh tiga wakil daripada Her Majesty Prison and Probation Services United Kingdom bagi memastikan matlamat mewujudkan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya dapat dilaksanakan dengan baik kepada warga kerja jabatan dan banduan.
Tambah beliau, penjara mensasarkan kadar residivis atau jenayah berulang oleh bekas banduan seluruh negara akan turun kepada 10 peratus berbanding 15 peratus pada masa ini.
“Perkara itu akan dapat dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun lagi iaitu selari dengan pelbagai program pemulihan termasuk pelancaran.
“Konsep ini sebenarnya membawa erti kepada kita sebagai keluarga Malaysia kerana setiap kesalahan yang dilakukan penjenayah pasti akan mewujudkan mangsa dan boleh jadi kita semua akan menjadi mangsa sekiranya aktiviti jenayah tidak dikawal dan minda penjenayah tidak dirawat,” katanya.