HomePendidikanPTTI bantu B40 akses pelajaran tanpa gangguan internet

PTTI bantu B40 akses pelajaran tanpa gangguan internet

KUALA LUMPUR: Pusat pembelajaran sokongan, PTTI Group Sdn Bhd, (PTTI) mengorak langkah lebih ke hadapan dalam membantu golongan pelajar B40 mendapatkan akses pembelajaran secara percuma, menerusi program Malaysia Bangkit Belajar.

Melalui usaha itu, PTTI bersikap proaktif seiring saranan kerajaan menggalakkan bantuan terhadap golongan berkenaan.

Pembantu Pengurus Am, PTTI Group Sdn Bhd, Race Monsopiad berkata, pelajar PTTI boleh memuat turun aplikasi PTTI ‘Better Result’ untuk mendapatkan pelbagai kemudahan ilmu secara percuma.

“Ini bermakna, PTTI akan dapat berkomunikasi dengan pelajar di seluruh negara, sekali gus mengumpulkan mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti khususnya dalam talian.

“Inisiatif ini sudah dilancarkan hari ini, untuk membantu mereka bersama pakar guru PTTI dan kita mahu membantu seramai mungkin,” katanya.

Beliau ditemui selepas hadir menjadi panel pada majlis Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian menampilkan ahli panel, negarawan terulung, Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran PTTI di sini, pada Ahad.

Sesi wacana itu dikendalikan oleh moderator, Muhd Habibunajjar Sazali.

Race berkata, program itu membabitkan pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dan pendaftaran sudah dibuka mulai Ahad.

Mengulas lanjut, katanya, pembabitan dua selebriti terkenal, Iman Troye dan MK K-Clique, akan terus membantu mempromosikan program berkenaan ke arah minat berterusan untuk mendapatkan ilmu sehingga ke menara gading.

“Kita bukan mengamalkan ‘old school method teaching’, tetapi konsep pembaharuan iaitu edutainment, belajar sambil berhibur.

“Dalam kelas, bukan sahaja ajar dalam talian dan fizikal, kita bantu dengan pasang musik bersesuaian, selain duta PTTI yang akan memberi motivasi dari masa ke semasa,” katanya.

Untuk rekod, seramai 96 pelajar SPM PTTI memperoleh semua A berbanding 34 pelajar pada 2020 dengan menyaksikan peningkatan sebanyak 188 peratus.

Sementara itu, seramai 383 pelajar mendapat 7A ke atas (2021) berbanding 158 pelajar (2020) dan peningkatan sebanyak 143 peratus.

Selain itu, 522 pelajar memperoleh 5A ke atas pada 2021 berbanding 366 pelajar pada 2020 dengan jumlah peningkatan 43 peratus.

Menghargai sokongan berterusan yang diberikan, PTTI turut meraikan kecemerlangan 335 pelajar pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021.

Author

Pilihan Editor