KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu lebih ramai anak muda menyertai industri minyak dan gas sejajar usaha untuk mengembangkan industri itu di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, Sabah telah mencatat kejayaan bersejarah menerusi penubuhan SMJ Sdn Bhd, iaitu syarikat minyak dan gas milik penuh negeri hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS pada tahun lepas.
“Kami amat menghargai kerjasama PETRONAS melalui CCA, menandakan langkah pertama dalam memastikan rakyat Sabah akan menikmati hasil daripada sumbernya.
“Ini bermakna penglibatan lebih besar bagi Sabah dalam perniagaan petroleum huluan; perniagaan minyak dan gas secara pertengahan serta hiliran, selain bersama PETRONAS meningkatkan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas serta nilai rantaiannya.
“Saya berkongsi keinginan untuk melihat sumber minyak, gas dan tenaga Sabah memberi manfaat kepada pembangunan negeri. Bersama rakyat, Sabah telah memperjuangkan penyelesaian saksama untuk mendapat manfaat daripada sumber minyak dan gas,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis graduasi TAS Institute of Oil & Gas yang ke-10 di Taman Perindustrian Kota Kinabalu di sini hari ini.
Sebanyak 90 pelajar menerima Diploma Lanjutan Business and Technology Education Council (BTEC) dalam Operasi Kejuruteraan sempena majlis graduasi itu.
Dalam pada itu, Hajiji mahu pusat latihan yang kini memasuki tahun ke-14 penubuhannya itu memainkan peranan dalam melahirkan tenaga kerja teknikal terlatih dan cekap seterusnya memenuhi sumber berkemahiran diperlukan industri minyak dan gas khususnya di Sabah.
Menurutnya, Sabah amat memerlukan modal insan memiliki ilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi termasuk dalam bidang minyak dan gas untuk terus memacu pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi.
“Komitmen ini juga adalah sejajar dengan tumpuan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional terhadap sektor utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memacu pemulihan pertumbuhan ekonomi.
“Penekanan kerajaan Sabah juga adalah untuk mendorong teras kedua hala tuju ini iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Belanjawan 2022,” katanya. – BERNAMA