HomeGaya HidupSejak kecil berkunjung Festival Bon Odori, saya masih Islam - Raja Alisha

Sejak kecil berkunjung Festival Bon Odori, saya masih Islam – Raja Alisha

SHAH ALAM: “Saya sejak kecil datang ke sini dan sudah tahu mengenai Bon Odori,” demikian kata Raja Alisha Raja Fajar, 25, pengunjung Festival Tarian Bon Odori 2022 Ke-46 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, di sini.

Raja Alisha berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk berkunjung ke festival berkenaan setiap tahun, sejak kali pertama menjejakinya ketika sekolah menengah di Subang.

Dia menjelaskan, neneknya berasal dari Jepun yang mendorongnya untuk berkelah bersama keluarga sambil menonton hiburan tarian Jepun serta menikmati pelbagai makanan dan minuman yang halal di sana.

“Kami memang datang sini setiap tahun berkelah, makan-makan, datang sini untuk menikmati suasana sahaja dan kebanyakan makanan halal tak ada rasa was-was.

“Saya dah tak terkira berapa kali berkunjung ke festival ini, cuma ketika tempoh pandemik dua tahun ini tiada penganjuran, jadi tidak adalah yang menyertainya,” kata penjual bunga itu.

Mengulas mengenai larangan seorang pemimpin kerajaan hadir ke festival terbabit, Raja Alisha berkata, umum sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai masyarakat majmuk dan berbilang kaum, dan setiap perayaan disambut tanpa menjejaskan hubungan silaturahim dan akidah masing-masing sehingga kini.

“Kita masih boleh pergi perayaan kaum lain, tetapi masih tidak ikut buat pemujaan.

“Berkunjung ke perayaan kebudayaan tidak mengubah iman, asalkan kita percaya dan faham apa yang kita buat, kita tahu batas kita di mana dan masih lagi Islam,” katanya.

SHAH ALAM, 16 Julai 2022. Suasana Festival Bon Odori kali ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam.

Dua wanita Jepun, Rui Kawahara, 35, dan Nagisa Tsuchiya, 37, ketika ditemui berkata mereka sangat berbangga apabila melihat warga tempatan sudi menyarungkan busana tradisional negara matahari terbit mereka, malah berasa seperti keluarga.

“Sebenarnya saya menjangkakan lebih ramai orang Jepun di festival ini, namun telahan saya salah, lebih ramai orang tempatan di sini.

“Apapun, saya rasa gembira melihat pertukaran budaya di sini. Saya rasa seperti dihargai di sini,” katanya Rui Kawahara yang pertama kali menyertai festival berkenaan.

Dia bagaimanapun berkata, tidak pernah menyertai tarian Bon Odori di negara asalnya, namun percaya penganjurannya sama.

Bagi dua sahabat, Muhammad Hafiz Muhammad Bushro, 29, dan Ikmal Hanafi Mohd Fadzil, 28, berkunjung ke festival berkenaan hanya untuk mengenali budaya Bon Odori semata-mata.

“Baru-baru ini kami dapat tahu Festival Bon Odori akan diadakan di sini, menjadi tular di media sosial. Kami buat keputusan untuk berkunjung ke festival ini untuk mengenali budaya Jepun di sini.

“Ini kerana, saya banyak mengembara termasuk di Jepun tetapi tidak pernah mengetahui mengenai Bon Odori. Oleh sebab itu, saya ke sini untuk mengetahui Bon Odori yang sebenar,” kata Ikmal Hanafi.

Bagaimanapun katanya, rakan Jepun ada menasihatkannya jika ke festival berkenaan, tidak turut sama menari kerana mengakui tarian berkenaan memperingati roh nenek moyang melainkan untuk mengenali pertukaran budaya.

Bagi Muhammad Hafiz, meskipun sekadar untuk menghiburkan diri berkunjung dan melihat tarian di sana, dia juga berpendirian supaya tidak terlalu taasub.

“Bagi saya, tengok persembahan budaya Jepun tak mengapa, tapi jangan terlalu taasub sampai terikut menari yang ada unsur pemujaan roh nenek moyang,” katanya.

Kesemua pengunjung yang ditemubual berbusana tradisi rakyat Jepun, antara puluhan ribu yang hadir ke festival bermula seawal jam 4 petang dan berakhir hingga jam 10 malam.

Turut serta ke festival, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, pada 6 Jun lalu menimbulkan kontroversi susulan nasihatnya supaya umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori yang berlangsung pada 16 Julai 2022 kerana didakwa mempunyai unsur keagamaan lain.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, kemudian mencadangkan agar Idris supaya hadir ke program berkenaan.

Bagaimanapun, sosok tubuh pemimpin PAS itu tidak kelihatan malah dipercayai tiada pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIS) ditempatkan di program itu.

 

Author

Pilihan Editor