LABUAN: Terminal feri ro-ro Labuan akan kembali sibuk menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Ahad (10 Julai).
Dijangka ribuan rakyat Sabah akan kembali ke kampung halaman mereka untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga (menggunakan kenderaan sendiri) bermula 7 Julai.
Syarikat pengurusan tiket untuk empat feri berkata tiket (bagi kenderaan) dari Labuan ke Menumbok bermula 7 hingga 9 Julai telah habis dijual sejak bulan lepas.
Pengurus Labuan Point Enterprise Sdn Bhd Robert Ling Song Shieng, syarikat pengurusan tiket feri bagi Kimanis 1, Purajaya 1 dan Goodwill Star mengesahkan tiket ke Menumbok telah habis dijual sejak awal Jun.
“Kami telah menjangkakan jumlah penumpang yang tinggi kerana kebanyakan mereka yang bekerja di Labuan akan pulang ke Sabah untuk meraikan cuti Hari Raya Korban.
“Tiket telah habis dijual sejak satu bulan yang lepas melalui pembelian secara dalam talian dan penjualan di kaunter,” katanya.
Robert menambah aliran trafik juga dijangka tinggi dari bulatan di pusat bandar (bertentangan bangunan ibu pejabat Jabatan Kastam) menuju ke terminal feri bermula awal pagi pada 7 Julai.
“Semua pengguna feri terutama mereka yang membawa kereta harus tiba sekurang-kurangnya 45 minit lebih awal sebelum berlepas, jangan tiba terlalu awal kerana ia boleh menyebabkan kesesakan,” katanya.
Robert berkata tiket dari Menumbok ke Labuan pada 11 Julai juga telah habis dijual manakala tiket pada 12 Julai masih ada bagi perjalanan pukul 7 pagi dan 6 petang sahaja.
Labuan Point Enterprise menyediakan lapan perjalanan setiap hari dari Labuan ke Menumbok bermula 7 hingga 9 Julai.
Syarikat Binabalu Sdn Bhd, ejen tiket bagi feri Galaxy berkata mereka menyediakan tiga perjalanan setiap hari bermula 7-9 Julai, dari Labuan-Menumbok dengan satu perjalanan pada 8.30 pagi dan dua perjalanan pada 1.30 tengah hari dan 6.30 petang.
Keempat-empat feri itu kini beroperasi setiap jam dan bukannya setiap dua dan tiga jam pada hari biasa kerana permintaan yang tinggi daripada pengguna untuk menaiki feri pulang ke tanah besar Sabah. – BERNAMA