HomePendidikanUniKL dijangka lahir 1,000 graduan penuhi sektor tenaga lestari

UniKL dijangka lahir 1,000 graduan penuhi sektor tenaga lestari

GOMBAK: UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI) dijangka melahirkan 1,000 graduan bagi memenuhi sektor tenaga lestari.

Graduan berkenaan adalah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memainkan peranan dalam pembangunan modal insan.

“Untuk itu kementerian melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan pelbagai jenis latihan dari peringkat sijil dan Diploma hinggalah ke Ijazah Sarjana Muda serta Pasca Ijazah di UniKL khususnya UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI).

 

“Bagi menambah bilangan modal insan yang cekap dalam industri tenaga lestari, UniKL BMI membangunkan dan menawarkan program baharu dinamakan Sarjana Muda Teknologi kejuruteraan Elektrik (Tenaga Lestari).

“Selepas tamat pengajian dari program ini pelajar bukan sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda, tetapi juga akan menerima dua sijil profesional iaitu Sijil Profesional Kecekapan Tenaga dan Sijil Rekabentuk Sistem PV bersambung Grid.

“Saya percaya program ini akan melahirkan graduan sedia masuk dalam industri dan pasaran. Dan menjadi harapan saya agar pihak menerima dan mengiktiraf tenaga mahir ini dengan memberi gaji yang setimpal dengan kepakaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Tenaga Lestari dan Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Bangunan UniKL Sustainable Energy Living Lab di UniKL BMI di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr. Roziah Omar.

Lakaran bangunan tenaga sifar pertama di Malaysia oleh UniKL BMI

UniKL BMI mencatatkan sejarah apabila membina bangunan pertama di Malaysia berstatus Bangunan Tenaga Sifar Bersih.

Bangunan akademik tiga tingkat Kampus UniKL BMI di Gombak itu dijangka akan siap pada Februari 2023.

Tambah Mahadzir, ia akan menghasilkan lebih banyak tenaga elektrik daripada yang digunakan melalui kaedah penjimatan tenaga mapan.

“Reka bentuk bangunan tersebut juga membantu pengurangan pelepasan karbon ke udara selaras dengan usaha kerajaan untuk mengadaptasikan Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals, (SDGs) di Malaysia.

“UniKL BMI menerima geran sebanyak RM12.5 juta untuk pembangunan modal insan di bawah program RMK11 bagi menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran pelajarnya bagi pengkhususan berkaitan tenaga lestari,” katanya.

Jelas Mahdzir, pembinaan bangunan itu bagi kegunaan program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Elektrikal dalam bidang Tenaga Lestari beserta Sijil Kecekapan Profesional dalam Rekabentuk Sistem Fotovoltaik Solar dan Pengurus Tenaga Elektrik Berdaftar di bawah Suruhanjaya Tenaga.

Ia sekaligus bagi memenuhi prospek permintaan tenaga kerja dan berkemahiran tinggi bagi industri berkaitan tenaga di Malaysia.

UniKL juga merupakan satu-satunya universiti yang telah ditauliahkan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia untuk menjalankan program Rekabentuk Sistem Fotovoltaik Solar (GCPV Systems Design).

Selain kampus UniKL BMI, sebuah lagi kampus UniKL iaitu UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI) di Bangi, Selangor turut menawarkan program berkaitan mikro hidro.

Program itu mampu menyumbang kepada pelaksanaan Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), meliputi kaedah alternatif seperti solar hibrid dan mikro hidro.

Ia termasuk program pemasangan lampu jalan dan bekalan elektrik kampung-kampung tradisional di luar kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“UniKL akan memainkan peranan yang amat penting dalam menyediakan tenaga mahir bagi sektor Tenaga dan Kecekapan Tenaga dengan adanya tenaga mahir yang mencukupi,” kata Mahdzir.

Sementara itu, Forum Tenaga Lestari yang julung kalinya dianjurkan oleh UniKL BMI dengan kerjasama Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia.

Forum turut menampilkan ahli-ahli panel tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada pakar dalam bidang tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga.

Antaranya Pengarah Kanan, Smart Glass Division AGC Asia Pacific Pte Ltd Singapura, Masayuki Hayashi; Pengarah Pembangunan Teknikal & Fasilitasi, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia, Ts. Steve Anthony Lojuntin dan Pengarah dan Profesor Solar Energy Research Institute (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Ts. Dr. Kamaruzzaman Sopian.

Turut terlibat, Pengarah Urusan, IEN Consultants Sdn Bhd, Gregers Reimann dan Ketua Projek, UniKL Sustainable Energy Living Lab, UniKL BMI, Mohd Akram Dandu.

Author

Pilihan Editor