HomeBeritaWujudkan sistem teliti kes sebelum dakwa, jadilah Melayu bertanggungjawab - Azalina Othman

Wujudkan sistem teliti kes sebelum dakwa, jadilah Melayu bertanggungjawab – Azalina Othman

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang yang juga seorang peguam, Datuk Seri Azalina Othman Said, hari ini mengulas isu hak wanita dalam undang-undang syariah.

Beliau berpendapat, ada keperluan untuk mewujudkan satu sistem bagi meneliti dan menyemak sesuatu kes sebelum dibawa ke pendakwaan bagi mengelakkan sebarang penganiayaan.

“Mungkin kita perlukan sistem (baharu) ke mahkamah, yang boleh membantu mangsa yang benar-benar memerlukan bantuan terutama wanita.

“Saya ingat lagi ketika menjadi Menteri Undang-undang, banyak wanita bankrap sebab jadi penjamin kepada suami. Isteri terpaksa menjadi penjamin suami takut dipukul, takut dicerai, akhirnya diumum bankrap, adakah itu adil?

“Jadi, kita buang undang-undang itu kerana tak boleh bankrapkan suami atau isteri. Perkara ini tidak adil,” katanya.

Beliau berkata demikian di Wacana Aspirasi UMNO 3.0 bertajuk Kemelut Kegelisahan Rakyat: Di mana Suara Wanita? di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, di sini.

Program kendalian Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator itu membariskan panelis seperti Azalina; EXCO Wanita UMNO, Dr Masliha Harun; tokoh sejarah, Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam dan peguam, Noorhajran Mohd Noor.

Azalina yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu malah menyindir mereka yang memegang amanah mentadbir hanya pandai melaungkan Melayu di mana-mana, tetapi tidak menjadi Melayu yang bertanggungjawab.

“Kita bercakap pasal PATI (pendatang asing tanpa izin), tapi siapa pegang senjata, siapa pegang permit, bot? Jadi, saya nak cakap ‘there is something wrong with that’.

“Minta maaf la prof (merujuk moderator), prof cakap kita Melayu, Melayu, saya bersetuju tetapi kita mestilah jadi Melayu yang bertanggungjawab. Jangan sekadar pegang jawatan dalam kepimpinan kerajaan atau mana-mana, dia ‘titik’ pula kita cukup-cukup,” ujarnya sinis.

Justeru, Azalina berkata, banyak perkara yang sedang berlaku perlu diperbetulkan semula dan segera, kerana menegaskan, tidak wujud kestabilan politik dan ekonomi dalam negara.

Sementara itu, Noorhajran turut bersetuju dengan ulasan Azalina turut mendedahkan segala kepincangan dan ketidakadilan berlaku bermula daripada tangan pegawai yang berada di kaunter menerima sesuatu aduan.

“Saya berkongsi pengalaman saya sendiri berhadapan seorang pegawai di belakang kaunter sebuah balai polis.

“Kes cerai saya belum selesai ketika itu tetapi ‘my ex-husband’ tidak dijumpai. Saya kata saya tahu di mana kerana saya dapat jemputan perkahwinan dengan bakal isteri suami saya, saya minta tolong tangkap.

“Apa mereka jawab pada saya? Ala Cik Noor, ‘relax’ lah, dia nak kahwin, takkan kita nak kacau, biarlah dia kahwin dahulu.

“Jadi, di sini saya nak katakan, penguatkuasaan ini sebenarnya bergantung kepada ‘mamat’ di belakang kaunter itu. Kalau dia faham, dia ikut. Itu kes saya sebagai peguam yang tahu undang-undang.

“Tapi bagaimana kes mereka yang tidak ada pengetahuan dalam undang-undang, yang tiada duit untuk bela diri, tiada duit untuk lawan balik, tiada rangkaian atau kawan-kawan yang boleh beri nasihat guaman.

“Apa hak untuk mereka yang tidak berdaya ini, adakah tiada ruang untuk mereka membela diri?” katanya.

Author

Pilihan Editor