KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.
Najib, 69, yang memakai sut kelabu dan bertali leher tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 8.26 pagi dari Penjara Kajang diiringi beberapa kenderaan polis.
Kelihatan petugas media dari pelbagai agensi mula berkumpul sejak 7.30 pagi bagi merakam gambar dan video ketibaan bekas perdana menteri itu serta membuat liputan kes tersebut.
Najib dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun jika gagal bayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Pada 8 Dis 2021, Najib gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. – BERNAMA