HomeBeritaBoleh lapor polis, tunda kereta secara salah - Peguam

Boleh lapor polis, tunda kereta secara salah – Peguam

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang kereta mereka ditunda oleh pihak persendirian boleh membuat laporan polis.

Peguam, Nazri Yahya berkata, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana orang yang mengambil dan membawa pergi sesuatu kenderaan tanpa izin sama ada pemilik atau tanpa kuasa yang sah, adalah satu kesalahan.

“Kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau enam bulan penjara.

“Hanya polis, JPJ dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada kuasa nak ambil tindakan terhadap kesalahan melibatkan salah parkir ni termasuk kuasa untuk alihkan kenderaan persendirian,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Trak penunda sedang menunda kereta pengunjung MAHA 2022 di MAEPS

Ahad lalu kecoh apabila dua petugas media terkejut kereta-kereta mereka ‘ghaib’ di kawasan letak kereta yang pada awalnya dibenarkan ketika membuat liputan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Kawasan letak kereta adalah di MAEPS, Serdang satu kawasan ‘private’ bukan kawasan yang diwartakan PBT untuk mengutip tiket jauh sekali kebenaran menunda kenderaan.

Kedua petugas itu diminta bayar RM100 seorang oleh seorang ‘brother towing’ di bawah khemah yang sudah sedia kerusi, meja dan resit.

Anehnya kawasan parkir berkenaan tiada sebarang penandaan boleh tunda kereta, lebih mengejutkan tiada notis saman atau kesalahan yang diberikan kepada dua petugas berkenaan.

Resit bayaran dikeluarkan dibawah nama Mardi MAEPS Sdn Bhd.
Resit bayaran kompaun kereta tunda dibuat ke atas akaun milik peribadi bukan di bawah nama syarikat.

Bayaran RM100 pula perlu dimasukkan ke akaun peribadi ‘brother towing’ walaupun resit yang dikeluarkan dibawah MARDI MAEPS Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Nazri berkata, di bawah Seksyen 50(2) Akta 333 pihak yang mengarahkan trak penunda mengalihkan kereta-kereta di tempat letak kereta itu hendaklah menunjukkan bahawa dia ada kuasa untuk berbuat demikian.

“Jika tidak ada kuasa, pihak tersebut sudah membuat kesalahan di bawah Seksyen 51 Akta 333 dan boleh di denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Orang ramai perlu tahu hak mereka, ini bagi mencegah sebarang kegiatan gangsterism, pemerasan menerusi penundaan kenderaan secara tidak sah,” katanya.

Author

Pilihan Editor