HomeSukanDulu ketawakan Anfield, kini sedih keadaan Old Trafford - Gary Neville

Dulu ketawakan Anfield, kini sedih keadaan Old Trafford – Gary Neville

BEKAS kapten Manchester United, Gary Neville menilai kemerosotan kelab itu bukan hanya aksi dalam padang tetapi juga berkaitan aspek infrastruktur.

Manchester United berada pada paras terendah musim ini. Bermua dengan dua kekalahan kepada Brighton & Hove Albion dan Brentford, The Red Devils kini terperosok di dasar Liga Perdana Inggeris.

Hujung minggu ini ujian lain pula yang datang apabila perlu berhadapan Liverpool, lawan dengan sejarah permusuhan yang panjang.

Kedua-dua pasukan bertukar ‘nasib, dengan Liverpool kini konsisten mengejar kejuaraan manakala dominasi United terhenti sejak ditinggalkan Sir Alex Ferguson pada 2013.

Namun, United tidak hanya ketinggalan dari segi aspek permainan saja. Gary Neville menyebut bagaimana Liverpool kini berubah wajah 100 peratus termasuk pelaburan dan pembangunan infrastruktur seperti tempat latihan dan stadium.

Walhal, ketika era dominasi United, Neville masih ingat lagi bagaimana mereka mentertawakan Anfield yang ketinggalan zaman. Sekarang dia melihat Old Trafford sebagai salah satu simbol teruknya pengurusan sekarang.

“Saya dulu biasanya gelak lihat Anfield ketika bertandang ke sana dan membandingkannya dengan Old Trafford. Saya selalu berfikir ‘mereka takkan dapat mengejar, mereka ketinggalan terlalu jauh’.

“Sekarang mereka membangunkan grandstand kedua di belakang gawang, tempat para penyokong lawan. Grandstand utamanya sekarang hebat. Anfield akan jadi stadium yang lebih moden berbanding Manchester United dan Old Trafford dalam 12 bulan,” ujarnya di podcast The Diary of A CEO, seperti dilapor Liverpool Echo.

Tambah Gary Neville, perkara ini tidak boleh dimaafkan.

“Dalam 20 tahun, Manchester United tidak melabur untuk stadium, dan mereka juga tidak melabur banyak ke tempat latihan. Ini kelab yang sedang alami kesukaran.

“Saya sudah mengatakannya dalam beberapa tahun terakhir, bahawa satu-satunya perkara yang dapat mengubah semua ini adalah pemilik. Ada benda busuk yang tertanam di dalam kelab,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor