HomeSukanE-sukanPSG LGD ‘tercekik’ lagi, Team Spirit muncul juara PGL Arlington Major

PSG LGD ‘tercekik’ lagi, Team Spirit muncul juara PGL Arlington Major

TEAM Spirit sekali lagi menjadi ‘kryptonite’ kepada PSG LGD apabila mereka berjaya menundukkan jaguh China itu di perlawanan akhir PGL Arlington Major pada awal pagi Isnin.

Biarpun terpaksa bertarung dengan Team Aster terlebih dahulu dalam saingan akhir lower bracket, namun juara dunia itu tidak langsung menunjukkan tanda-tanda kepenatan.

Bertemu PSG LGD di perlawanan akhir buat kali yang kedua berturut-turut selepas Riyadh Masters musim ini, semestinya Team Spirit mempunyai ‘hutang’ yang masih belum berbayar.

Bermula dengan peta yang pertama, anak buah Zhang Ning (Xiao8) terlebih dahulu memungut mata yang pertama sebelum pasukan dari Rusia itu membuat satu kebangkitan epik di peta yang kedua untuk menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

Dalam peta tersebut, PSG LGD gagal menamatkan perlawanan lebih awal biarpun mendominasi permainan dan pada minit ke-70, Team Spirit telah menghukum kealpaan lawan mereka untuk kembali menghidupkan peluang sebelum memenangi peta tersebut selang lima minit selepas itu.

Bersambung ke peta ketiga, Alexander Khertek (TORONTOTOKYO) dan rakan-rakan berjaya menjarakkan kedudukan kepada 2-1 dan hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi sebelum menjulang trofi Major pertama mereka.

Namun, PSG LGD dilihat bermula lebih garang untuk menghalang perkara itu terjadi dalam peta yang keempat dengan Zhang Ruida (Faith_bian) sangat rakus merobek setiap musuhnya bersama Razor.

Team Spirit enggan mengalah dan hasilnya sekali lagi di pertengahan permainan kesilapan demi kesilapan telah dilakukan oleh lawan mereka dari China itu terus dihukum dengan cukup sempurna.

Pertaruhan berani juara dunia itu dengan memberikan kepercayaan kepada Magomed Khalilov (Collapse) menggunakan hero Axe sangat tepat untuk mematikan langkah-langkah yang cuba diaturkan oleh PSG LGD.

Selepas 44 minit permainan berlangsung barulah mereka akur dengan kehebatan Team Spirit yang akhirnya berjaya memperoleh gelaran Major DOTA 2 yang pertama sejak penubuhan pasukan tersebut.

https://twitter.com/Team__Spirit/status/1558976444184788993

Sebagai juara, pasukan Rusia itu akan membawa pulang hadiah utama bernilai US$200,000 bersama trofi iringan serta 820 mata DPC untuk dikumpul.

Misi Team Spirit selepas ini semestinya untuk mempertahankan gelaran juara dunia di Singapura pada bulan Oktober nanti.

Sumber: Sentrum.MY

Authors

Pilihan Editor