HomeBeritaMUDA tuntut Kementerian Pertahanan perjelas pembekal luar projek LCS

MUDA tuntut Kementerian Pertahanan perjelas pembekal luar projek LCS

KUALA LUMPUR: Projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus dipertikai termasuk membabitkan kapasiti tempatan.

Susulan pendedahannya, pelbagai skandal yang muncul dalam isu LCS, kebanyakannya daripada syarikat dan pembekal luar.

Dakwaan itu dibuat oleh Naib Presiden Parti MUDA, Zaidel Baharuddin untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak Kementerian Pertahanan berkaitan pengimportan semula produk luar negara.

“Penting untuk pihak Kementerian Pertahanan dengan jelas menerangkan apakah kapasiti tempatan yang berjaya dibina melalui projek ini dan adakah benar-benar keupayaan kejuruteraan tempatan digunakan sepenuhnya?.

“Contoh paling ketara ialah pertuduhan pecah amanah melibatkan bekas pengerusi Boustead, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, kesemua pertuduhan melibatkan pembayaran kepada syarikat berpengkalan di Singapura,” soalnya dalam satu kenyataan di sini.

Zaidel berkata, sudah pastinya Malaysia mempunyai kepakaran tempatan dalam bidang sistem komunikasi, pemantauan dan lain-lain, tetapi adakah ia terpakai dalam projek berkenaan.

“MUDA faham Malaysia tiada kapasiti untuk membina peluru berpandu tetapi bagaimana dengan sistem komunikasi, pemantauan dan lain-lain sistem sokongan, pasti kita mempunyai kapasiti tempatan yang mampu mengikut piawaian ketenteraan.

“Adakah projek ini diberikan kepada syarikat yang benar-benar berkelayakan atau hanya sekadar syarikat kroni ala ali baba yang akhirnya mengimport semula produk dari luar negara?,” katanya.

Zaidel turut mempersoalkan lagi, kewajaran pelaksanaan projek LCS melibatkan perbelanjaan berbilion ringgit itu sama ada berupaya memperkasa industri pertahanan negara.

“Ingin ditegaskan, MUDA menyokong sebarang insiatif yang memperkasakan industri pertahanan negara, ini tidak dipersoalkan.

“Wajar dan wajib kita memperkasakan industri ini supaya tidak bergantung kepada pihak luar khususnya dalam waktu peperangan.

“Malangnya, dengan lebih dari RM6 bilion yang dibelanjakan melalui projek LCS, adakah ianya mencapai matlamat ini?,” katanya.

Katanya, alasan terbesar dimaklumkan adalah kontrak LCS diberikan kepada Boustead Naval Shipyard bagi membina kapasiti industri pertahanan tempatan selain daripada ianya syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Jadi tak usahlah berselindung di sebalik alasan menjaga keselamatan negara, sesungguhnya negara lebih tidak selamat dengan kapal yang masih tak boleh belayar,” katanya.

Author

Pilihan Editor