HomeBeritaJamal Yunos sedia saman, minta siasat bekas Ketua Polis Selangor

Jamal Yunos sedia saman, minta siasat bekas Ketua Polis Selangor

AMPANG: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sedia memfailkan saman terhadap bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berhubung pertuduhan yang dihadapinya kerana didakwa memuat naik kenyataan jelik, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, perkara itu akan dibincangkan bersama peguamnya, Mohd Hafizuddin Khan Norkhan terlebih dahulu untuk dipertimbangkan.

“Bila mahkamah putuskan saya tidak bersalah, saya akan bincang dengan peguam kerana kes ini diadukan oleh seseorang.

“Sama ada kita akan buat laporan semula (terhadap pengadu) atau minta polis siasat pengadu tersebut,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Ampang, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan susulan selepas Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan itu.

Beliau menegaskan, tindakannya melaporkan wujud kegiatan judi haram di premis adalah berasas.

“Apa yang saya laporkan ketika itu, memang ada, media ada memaparkan kegiatan judi haram ini berleluasa,” katanya.

Beliau yakin di pihak yang benar kerana sebagai pemimpin politik dan mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan perkata yang benar demi untuk rakyat dan negara.

“Saya yakin, saya berada di pihak yang benar, kerana saya telah pun mendapat keadilan di mahkamah.

“Saya sebagai orang awam hanya mendedah, membongkar kepincangan yang berlaku dalam negara. Saya bukan merompak, menyamun atau merasuah, hanya sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk kebaikan negara dan rakyat,” katanya.

Beliau menambah, meskipun perjuangannya itu memerlukan pengorbanan besar dan pahit dilalui, beliau percaya dengan rahmat dari Tuhan Yang Esa.

“Saya tetap konsisten dengan perjuangan ini. Perjuangan kami tulus, ikhlas, bukan sebab politik, bukan untuk cari ‘mileage public’ untuk diri sendiri,” katanya.

Author

Pilihan Editor