KUALA LUMPUR: Dua gol termasuk satu jaringan di saat akhir bekas penyerang skuad kebangsaan, Mohd Amri Yahya memastikan Sabah FC melakar kemenangan penting 2-1 ke atas Melaka United FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.
Penyerang veteran berusia 41 tahun itu, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, membalas kepercayaan pengendali Datuk Ong Kim Swee apabila meledak gol penyamaan diikuti jaringan dramatik pada penghujung babak permainan.
Pada aksi yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat dan padang becak itu, pasukan pelawat terlebih dahulu di depan pada minit ke-24 menerusi Ifedayo Olusegun yang tenang menolak bola tampanan kurang kemas penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Percaturan Kim Swee membawa masuk Mohd Amri ternyata membuahkan hasil apabila kehadirannya menyuntik semangat rakan sepasukan sehingga membawa kepada gol penyamaan pada minit ke-65 berpunca dari hantaran Alto Linus yang disudahkan bekas pemain Selangor itu dengan voli kaki kanan.
Seakan permainan berkesudahan 1-1, Mohd Amri muncul wira Sabah menerusi gol kedua peribadinya malam ini selepas memanfaatkan hantaran lintang Muhammad Farhan Roslan dengan melepaskan rembatan padu untuk gol kemenangan pasukan pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Namun, sebelum wisel penamat dibunyikan permainan dicemari dengan dua layangan kad merah masing-masing kepada pemain Melaka, Ahmad Haziq Puad dan pemain Sabah, Rawilson Batuil kerana kekasaran yang dilakukan.
Tiga mata diraih itu menyaksikan skuad Sang Badak kini berada di kedudukan kedua mengumpul 31 mata selepas mengharungi 14 aksi, hanya dibezakan satu mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kurang dua perlawanan.
Sementara itu, episod sama berlaku di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila penyerang gantian Sean Eugene Selvaraj muncul wira Negeri Sembilan FC yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menumbangkan Selangor FC 3-2.
Skuad Gergasi Merah selesa mendahului perlawanan menerusi jaringan Herlison Caion seawal minit kelapan sebelum Yazan Al-Arab menanduk masuk gol kedua pada minit ke-30 berpunca daripada sepakan percuma, namun kedudukan itu gagal dipertahankan pada babak kedua.
Kebangkitan Negeri Sembilan bermula pada minit ke-66 selepas penyerang Gustavo Dos Santos menyempurnakan sepakan percuma, diikuti tandukannya pada minit ke-80 yang berjaya mengikat kedudukan sebelum Sean melepaskan rembatan dari luar kotak untuk gol kemenangan pada minit ke-88.
Dalam pada itu, Sarawak United FC mencatat kemenangan keempat musim ini selepas mengatasi pasukan tercorot Penang FC 3-2 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Manakala aksi tunggal Liga Premier menyaksikan pendahulu Kelantan FC terus memperkukuhkan kedudukan di puncak liga selepas membenam Kuching City FC, 2-0, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu. – BERNAMA