HomeBeritaJawatankuasa bantu rakyat tangani kos sara hidup diwujudkan

Jawatankuasa bantu rakyat tangani kos sara hidup diwujudkan

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menubuhkan jawatankuasa bagi menggerakkan usaha dalam membantu rakyat mendepani kos sara hidup.

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, jawatankuasa bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya lapan juta anggota koperasi dan ahli NAFAS
serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya bagi mendapatkan barang keperluan
harian dengan harga yang lebih berpatutan.

“Antara strategi ANGKASA adalah melibatkan koperasi dalam seluruh rantaian pembekalan dan pengeluaran yang mana kita akan dapat mengawal harga sesuatu produk di pasaran seterusnya penjimatan kepada pengguna.

“Pihak NAFAS seperti kita ketahui mempunyai pengalaman amat luas dalam pengeluaran produk pertanian dan sudah tentu kerjasama ini akan membantu pihak koperasi untuk meluaskan lagi bentuk produk dan perkhidmatan yang dapat ditawarkan dalam pasaran,” katanya kepada pemberita.

Jawatankuasa tersebut diwujudkan hasil Kunjungan Hormat Presiden ANGKASA menemui Pengerusi Ahli Jemaah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob di pejabatnya hari ini.

Pertemuan tersebut antara lain
membincangkan kerjasama dan strategi yang boleh dimainkan oleh kedua-dua organisasi bagi membantu pihak kerajaan dalam mendepani isu kos sara hidup yang semakin meningkat pada ketika ini.

Dalam pada itu, Zamri berkata, langkah susulan akan diambil oleh kedua pihak dan juga gerakan koperasi bagi memenuhi keperluan ayam segar dan produk asas tani yang lain di dalam pasaran.

“Penglibatan koperasi dalam ekosistem pembekalan juga akan mengurangkan peranan orang tengah sekaligus mampu menawarkan harga yang lebih murah kepada pengguna,” katanya.

Jawatankuasa itu dibentuk sebagai menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu memastikan kestabilan harga barangan supaya kekal pada harga mampu milik Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri ketika berkata dalam Dewan Rakyat, komitmen kerajaan dalam membantu rakyat untuk menangani kenaikan kos sara hidup dilaksanakan dengan meningkatkan peruntukan subsidi lebih RM77 bilion berbanding RM31 bilion bagi tahun 2020.

Author

Pilihan Editor