HomeBeritaMungkin rakyat Sarawak pula berubat di Indonesia nanti

Mungkin rakyat Sarawak pula berubat di Indonesia nanti

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Beberapa fasiliti perubatan yang memungkinkan rakyat Sarawak berkunjung untuk menerima rawatan perubatan, telah dibangunkan di Kalimatan baru-baru ini, kata Konsul Jenderal Republik Indonesia Di Kuching, Raden Sigit Witjaksono.

Jika selama ini kata beliau bandar raya Kuching antara destinasi warga wilayah Kalimantan untuk datang mendapatkan rawatan perubatan ekoran jaraknya yang dekat.

“Tidak mustahil suatu hari nanti orang Sarawak juga akan dapat berkunjung ke Indonesia untuk tujuan serupa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MEDIA VARIASI selepas menyempurnakan Hari Ulang Tahun Republik Indonesia ke-77 di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching (KJRI Kuching) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini mengenai rakyatnya yang mendapat rawatan di Sarawak seolah tidak yakin terhadap kredibiliti institusi kesihatan negara sendiri, Raden berkata beliau melihat pada posisi Indonesia perlu mempersiapkan fasaliti perubatan.

“Ini kerana kita tahu fasaliti perubatan di Indonesia semakin baiknya ada di wilayah Jawa dan sebahagian Sumatera,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Raden mendedahkan setakat semalam, seramai 400 orang warga Indonesia memasuki Sarawak melalui tiga pintu sempadan utama pada setiap hari.

Menurut beliau tiga pintu sempadan terlibat adalah di Lubok Antu (Nanga Nadai), Tebedu (Entikong) dan Biawak (Aruk).

“Mulai dibuka sejak April (Entikong dan Biawak) dan Lubok Antu (Julai) memperlihatkan kesibukan meningkat di kedua belah negara,” ujarnya.

Oleh yang demikian Raden berharap prasarana pengangkutan bas dibenarkan memasuki bandar raya hingga ke perhentian bas umum di Kuching Sentral.

“Ketika ini bas dari Indonesia hanya boleh sampai di sempadan sahaja maka pada masa hadapan kita berharap bas dari Pontianak boleh memasuki Kuching,” jelasnya ekoran sebelum pandemik, bas dari Indonesia boleh memasuki bandar raya Kuching bahkan turut sampai ke Miri dan negara Brunei Darussalam.

Dalam sidang media itu juga, bersempena Hari Ulang Tahun Republik Indonesia ke-77, beliau berharap hubungan baik Sarawak dan Indonesia akan memberi manfaat besar kepada sosial serta ekonomi rakyat kedua-dua belah pihak.

Ini memandangkan Sarawak dan Indonesia sekian lama berkongsi sempadan negara sepanjang lebih 2,000 kilometer, ujar beliau.

Author

Pilihan Editor