HomeBeritaJuruterbang maut pesawat terhempas di Medan Gopeng

Juruterbang maut pesawat terhempas di Medan Gopeng

IPOH: Seorang juruterbang maut manakala seorang lagi cedera parah apabila sebuah pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, di sini, malam ini.

Mangsa yang maut ialah Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor manakala mangsa yang cedera ialah Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo berkata, pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengesahkan satu kemalangan sebuah pesawat sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji, berdekatan Medan Gopeng, Ipoh, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh telah menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam, jenis pesawat adalah Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Azman Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 8.10 malam sebelum anggota bergegas ke lokasi.

Author

Pilihan Editor