HomeGaya HidupSeni & WarisanKampung Santubong pernah ada sekolah tua

Kampung Santubong pernah ada sekolah tua

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Kemuafakatan penduduk Kampung Santubong suatu ketika dahulu menyaksikan sebuah sekolah didirikan hasil titik peluh warganya demi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pendidikan.

Mengimbau kembali kisah sekitar 72 tahun lalu, Mahli Pauzan mengakui dirinya merupakan salah seorang anak jati kampung itu pernah mendapat pendidkkan di sekolah berkenaan.

“Hanya berstruktur kayu sahaja, ianya dibina di hadapan pantai kampung Santubong ini dahulu,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI.

Mahli mendedahkan getusan idea untuk membina sekolah berkenaan digerakkan oleh Tua Kampung Shukri bin Tua Kampung Mahdi.

“Tua Kampung Shukri merupakan Ketua Kampung pertama kampung ini dan Allahyarham yang memulakan kerja pembinaan sekolah serta mengajak penduduk kampung yang lain membantunya ketika itu,” ujarnya.

Malahan kata Mahli, Tua Kampung Shukri turut mengeluarkan dana sendiri sambil dibantu oleh masyarakat kampung untuk membangunkan sekolah terbabit.

“Saya sempat bersekolah di sekolah itu iaitu sekitar penghujung tahun 1950-an ketika itu masih lagi saya mendengar lagu-lagu patriotik British dinyanyikan oleh para pelajar,” ujarnya.

Namun begitu, sekolah berkenaan jelasnya tidak bertapak lama memandangkan tahun 1963 Sekolah Rendah Santubong dibina oleh pihak kerajaan sejurus Sarawak mengiystiharkan menyertai Malaysia pada 16 September 1963.

Demikianlah sebahagian lipatan sejarah, kata Mahli yang disemat rapi oleh penduduk kampung yang terletak di kaki Gunung Santubong dan berhadapan dengan Laut China Selatan itu.

Berkongsi lanjut warga emas ini mendedahkan selama 44 tahun berkelana di Pulau Pinang menabur bakti di dalam bidang perkapalan di Pulau Mutiara itu pelbagai peristiwa di kampung itu berjaya merubah wajah sosioekonomi setempat.

“Di mana tumpahnya darah, di sini (Kampung Santubong) lah saya kembali mengabadikan sisa tua di kampung halaman,” katanya mengakhiri pertemuan.

Author

Pilihan Editor