HomeNiagaMySejiran tawar khidmat 'online' tanpa caj penghantaran

MySejiran tawar khidmat ‘online’ tanpa caj penghantaran

AMPANG: Biasanya anda membayar lebih jika menggunakan platform Grab atau Foodpanda, tetapi tidak pada aplikasi baharu, MySejiran.

MySejiran adalah kombinasi platform e-direktori, e-dagang dan e-penghantaran dalam satu yang menjadi tempat rujukan jenama perniagaan, pesanan, transaksi dan penghantaran.

Pengasas MySejiran dari syarikat penyedia solusi Alphacomp Solution Sdn Bhd, Chee Weng Hong berkata, pada ketika ini platform MySejiran menyediakan baucar dan pembelian tanpa caj penghantaran dalam jarak radius lima kilometer.

“Sebanyak 3,000 pendaftaran perniagaan ketika ini dan merangkumi kawasan Selangor sahaja.

“Program ini akan dikembangkan ke luar Selangor setelah kita lihat hasilnya nanti.

“Menerusi MySejiran ini peniaga pula tidak dikenakan sebarang faedah, menjimatkan kos pengurusan, mengatasi kekurangan tenaga kerja, memiliki e-kedai sendiri, pembayaran terus ke akaun peniaga, mempromosikan perniagaan secara pendigitalan.

“Sistem pengurusan lebih sistematik dan teratur dan memiliki rekod jualan,” katanya selepas hadir ke program E-Digitalisasi di Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana, di sini.

Pada program itu sewajarnya dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail namun beliau tidak dapat hadir dan digantikan wakilnya.

Seramai 200 peniaga dari pelbagai sektor hadir dengan jualan masing-masing.

Matlamat utama Alphacomp Solution Sdn Bhd menghasilkan MySejiran adalah untuk membantu para peniaga golongan B40 untuk meningkatkan hasil jualan mereka secara lebih meluas.

Tambah Weng Hong, di antara ciri MySejiran adalah, informasi digital iaitu kod imbasan atau NFC memaparkan produk atau menu jualan sesebuah kedai untuk memudahkan pelanggan membuat pesanan.

“Selain itu, sistem giliran pendigitalan memudahkan pelanggan untuk menempah tempat duduk atau bawa pulang.

“Satu lagi ciri MySejiran “inter-voucher” untuk membantu mengembangkan lagi perniagaan kejiranan dengan memberikan baucar promosi diskaun kepada setiap pelanggan,” katanya.

Author

Pilihan Editor