HomeBeritaViralNetizen bangga ramai berdiri hormat Negaraku di restoran

Netizen bangga ramai berdiri hormat Negaraku di restoran

KUALA LUMPUR: Lagu Negaraku sebenarnya lambang penyatuan dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Susun kata lagu patriotik ciptaan Allahyarham Saiful Bahri ini malah menjadi bukti taat setia rakyat terhadap raja dan negara ini.

Alunan dan bait liriknya, berjaya meninggalkan kesan di jiwa rakyat Malaysia, sehingga boleh bangun berdiri tegak tanpa diminta tanda hormat.

Perasaan bercampur baur bangga, sebak dan merinding bulu roma setiap kali lagu ini dialunkan.

Sebuah video Tiktok menggunakan nama @asunta, telah menarik perhatian sehingga 60,000 tontonan pengguna akaun, sejak malam tadi, merekodkan suasana pelanggan di Restoran Ali Maju, yang sanggup berhenti makan sebentar, dan berdiri menyanyikan lagu kebangsaan itu.

Netizen rata-ratanya, bangga dengan tindakan pelanggan di restoran itu kerana menghormati lagu Negaraku.

Tidak kurang ada yang sebak dan berbangga, mendabik dada dengan mereka.

Ada juga yang memuji, seorang wanita yang berani menyarung tudung Jalur Gemilang, di khalayak ramai, dan berterima kasih kepada pendidik yang pernah mengajarkan lagu itu.

Lagu Negaraku itu sebenarnya dipasang oleh penganjur program Sambutan Ambang Merdeka 2022, di Restoran Ali Maju, Sri Rampai di sini, malam tadi.

MEDIA VARIASI berkesempatan melakukan tinjauan eksperimen sosial, dengan meminta pihak penganjur memasang lagu Negaraku dengan kebenaran pihak restoran, berkenaan.

Ia bertujuan bagi mendapatkan kepastian sama ada masih wujud semangat patriotisme dalam kalangan rakyat, atau sebaliknya.

Eksperimen ini dilakukan sebanyak tiga kali iaitu selang sejam sekali bermula jam 6 petang hingga jam 8 malam, lagu dimainkan ternyata reaksi yang sama diterima semua sesi.

Author

Pilihan Editor