HomeBeritaOrganisasi berperanan tangani masalah kesihatan mental di tempat kerja

Organisasi berperanan tangani masalah kesihatan mental di tempat kerja

KUALA LUMPUR: Organisasi berperanan proaktif dalam menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja.

Ini kerana, masalah kesihatan bukan sahaja memudaratkan kesejahteraan emosi seseorang individu, tetapi turut menjejaskan produktiviti di tempat kerja.

Perkara ini diambil berat oleh pihak AIA Malaysia apabila semakin ramai tenaga kerja terpaksa bergelut dengan masalah kesihatan mental yang diburukkan lagi susulan pasca pandemik.

Ketua Pegawai Penyelesaian Korporat AIA, Tung Hsiao Ley berkata, masalah kesihatan mental dikatakan terus meningkat sehingga menjejaskan aspek kesihatan individu khususnya produktiviti di tempat kerja.

Beliau berkata, berdasarkan kajian oleh Relate Malaysia pada 2018, mendapati, seramai 4.57 juta pekerja dewasa mengalami masalah kesihatan mental dengan 29 peratus daripadanya menunjukkan bahawa tahap kesihatan mental sangat rendah.

Tinjauan Tempat Kerja Paling Sihat di Malaysia oleh AIA Vitality pada 2019 pula, mendapati bahawa semakin ramai tenaga kerja di Malaysia tidak mendapat tidur secukupnya dan bekerja secara berlebihan.

Katanya, statistik merekodkan sebanyak 51 peratus daripada mereka mengalami sekurang-kurangnya satu dimensi tekanan atau stres berkaitan kerja, dan 53 peratus mendapat tidur kurang daripada tujuh jam sehari.

Justeru, pihak AIA Malaysia memperkenalkan penyelesaian kesihatan mental yang pertama di negara ini menerusi kerjasama dengan ThoughtFull.

Katanya, langkah bersama itu adalah sebahagian daripada usaha membantu organisasi menangani masalah kesihatan mental di tempat kerja dengan lebih baik.

Beliau berkata, penyelesaian baharu itu membolehkan majikan memberikan penjagaan yang lebih baik dan sokongan hujung ke hujung untuk kesejahteraan mental pekerja mereka.

“Penyelesaian kesihatan mental baharu itu adalah sebahagian daripada ‘WorkWell with AIA’, satu bahagian di bawah Penyelesaian Korporat Menyeluruh kumpulan.

“WorkWell with AIA menawarkan pelbagai penyelesaian dan perkhidmatan bagi membimbing organisasi yang ingin memupuk dan meningkatkan kesejahteraan pekerja,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Katanya lagi, sebagai salah satu penyedia insurans manfaat pekerja terbesar Malaysia, AIA bermatlamat menyediakan penyelesaian yang serba lancar bagi meningkatkan tahap kesejahteraan mental di syarikat.

“Kami juga ingin menghapuskan stigma dan mewujudkan ruang yang selamat di tempat kerja bagi menggalakkan perbincangan berkaitan kesihatan mental,” katanya.

Author

Pilihan Editor