HomeBeritaPelancong sasaran datang ke Sarawak kerana ‘sanggup bayar mahal’

Pelancong sasaran datang ke Sarawak kerana ‘sanggup bayar mahal’

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Sarawak susun strategi untuk menarik kehadiran pelancong sasaran (selected tourists) lebih ramai ke negeri ini ekoran kelompok berkenaan sanggup ‘bayar mahal’.

Pelancong sasaran kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah bersifat eksklusif kerana mereka ini mempunyai kelas tersendiri.

“Untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke sini (Sarawak) kita perlu melihat apakah dasar untuk menarik pelancong selain tarikan semula jadi iaitu Taman Negara yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) pada Isnin.

Menjelas lanjut, sama ada pelancong secara rawak (mass tourists) atau pelancong sasaran Abang Johari memberitahu pelancong sasaran adalah keutamaan negeri itu.

“Sebab itulah kita menganjurkan pelbagai acara perniagaan di sini dan Festival Muzik Hutan Hujan (Rainforest World Music Festival) juga… kedatangan mereka ini adalah pelancong sasaran, bukannya pelancong secara rawak,” tegasnya.

Daripada pemerhatian kata beliau secara kebiasaan pelancong rawak tidak mahu berbelanja lebih berbanding pelancong sasaran yang sanggup membayar harga untuk produk atau acara yang menjadi sebab mereka hadir ke negeri ini.

“Pelancong sasaran adalah mereka yang tidak kisah untuk membayar,” ujarnya lagi manakala pelancong secara rawak mungkin juga mendatangkan masalah dari segi harga yang ditawarkan oleh hotel.

Sementara peranan yang dimainkan oleh kerajaan Sarawak jelas Abang Johari, pihaknya giat menaik taraf infrastruktur di seluruh negeri berikutan ia menjadi daya tarikan serta memberi keterujaan kepada para pelancong ketika berada di Sarawak.

Dalam ucapannya, Abang Johari turut mengumumkan sebuah konvensyen mengenai hidrogen bertaraf antarabangsa bakal diadakan di bandar raya Kuching pada tahun hadapan.

Bagi menampung kapasiti kata beliau bangunan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) akan dinaik taraf agar lokasi ini tidak hanya pusat konvensyen malahan ia turut dilengkapi galeri pameran.

Author

Pilihan Editor