HomeBeritaPemuda UMNO saman fitnah Malaysiakini, Astro Awani RM50 juta

Pemuda UMNO saman fitnah Malaysiakini, Astro Awani RM50 juta

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO, sudah pun mengemukakan surat tuntutan saman pemula RM50 juta kepada dua agensi media tempatan, berhubung dakwaan fitnah terhadap Mesyuarat Biro Politik, Isnin minggu lalu.

Peguam UMNO sudah pun menghantar surat saman fitnah kepada Malaysiakini dan Astro Awani masing-masing RM25 juta.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui kenyataan di hantaran Facebook rasminya, tengah malam tadi.

Katanya, ia berikutan ramai pihak bertanyakan status saman terhadap Malaysiakini dan Astro Awani yang mengeluarkan berita fitnah terhadap UMNO.

“Jika ada mana-mana lagi pihak termasuk individu yang memfitnah UMNO dengan apa juga bentuk laporan, komentar atau berita palsu, saya dan Pemuda UMNO tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa.

“Sudah tiba masanya untuk bertindak lebih agresif melalui saluran undang-undang dibuat kerana UMNO sudah lama bersikap ‘gentleman’, membiarkan sahaja fitnah berlegar sehingga mencetuskan persepsi negatif yang memudaratkan parti dan seluruh warga pendokongnya,” tulisnya.

Pemuda UMNO melalui Asyraf Wajdi sebelum ini sudah berbincang dengan Presiden parti untuk memulakan saman fitnah membabitkan dakwaan yang dibangkitkan oleh Malaysiakini dan Awani.

Kedua-dua agensi media itu menerbitkan kenyataan daripada sumber tidak sahih terhadap hasil Mesyuarat Biro Politik UMNO, di Pusat Dagangan Putra (WTC), Isnin minggu lalu.

Author

Pilihan Editor