KUALA LUMPUR: Pengguna Tiktok, Pian Kpop membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap jutawan hartanah, Muhammad Azlan @Ali di platform berkenaan secara ‘live’ selepas mengakui kesilapan akibat salah faham.
Menerusi live itu, Pian Kpop atau nama sebenar Sufian Muhammad mengakui terlampau emosi kerana memikirkan dirinya sudah kehabisan wang dan tidak tahu kepada siapa dia perlu meminta pertolongan, sebelum ini.
Ketika itu katanya, hanya nama Azlan Al Amin (Muhammad Azlan) yang terlintas dan terus menghubungi jutawan berkenaan untuk meminta wang dipercayai hutang daripadanya.
Pada masa yang sama, lelaki terbabit turut menjelaskan tindakannya menjunjung Quran di kepala menerusi akaun sama, ia sebenarnya adalah kesilapan teknikal daripadanya sendiri.
“Masa Pian junjung Quran, dalam fikiran hanya ingat Abelan (Muhammad Azlan) hutang dengan Pian tetapi sebenarnya, ada kesilapan teknikal dan salah faham Pian. Pian ingat Pian hutang dengan Abelan rupanya salah faham,” jelasnya yang dipetik daripada akaun Berita Kini.
Dalam live sama, Pian turut ditemani jutawan terbabit malah memeluk erat dan meminta maaf berulang kali terhadap lelaki itu.
Menariknya, dia turut menerima sejumlah wang sumbangan daripada jutawan sebagai sagu hati dipercayai digunakan untuk meneruskan kehidupan keluarga.
Sementara itu, Muhammad Azlan sempat meninggalkan pesanan kepada pengikut ‘live’ supaya sentiasa melihat perkara yang berlaku dengan sabar dan hikmah.
“Apa jua berlaku kalau kita lihat dengan pandangan berhemah dan sabar, ada hikmah. Walaupun tiada hitam putih (kejadian), fikiran kita bersih, hati kita putih.
“Hal yang berlaku sebelum ini hanya kesilapan sebagai seorang manusia. Justeru, apabila kita melihat sengketa, kita jangan jadi tukang batu api, tetapi tukang damai,” katanya.