HomeBeritaPRU15: GPS akan tampil muka baharu bertanding 31 kerusi Parlimen

PRU15: GPS akan tampil muka baharu bertanding 31 kerusi Parlimen

OLEH: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Beberapa muka baharu bakal ditampilkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Maka dengan ini kata Presiden GPS-PBB itu lagi beberapa Ahli Parlimen sedia ada akan mengundur diri bagi memberi peluang orang muda beraksi.

“Memang ada beberap orang (Ahli Parlimen) menyatakan mereka tidak akan bertanding lagi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB pada Sabtu.

Bercakap mengenai PRU15, Abang Johari turut menegaskan GPS kini siap siaga serta hanya menanti gendang pilihan raya dipalu oleh Perdana Menteri Dtuk Seri Ismail Sabri Yaakob sahaja.

“Dengan ini kita telah menubuhkan jawatankuasa bagi persiapan PRU yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi menggerakkan jentera parti,” ujarnya.

Dalam sidang media itu juga Abang Johari akui PRU15 ini menyaksikan GPS akan bertanding di kesemua 31 kerusi parlimen dalam masa sama turut optimis untuk bertanding sebagai parti tunggal buat julung kali.

“Ini PRU pertama kita sebagai parti sendiri… dahulu kita bersama Barisan Nasional (BN)…kali ini kita bertanding kita (GPS) sendiri,” tegasnya.

PRU14 pada tahun 2018 menyaksikan BN Sarawak ketika itu memenangi 19 kerusi daripada 31 kawasan parlimen iaitu lebih 1.4 juta pemilih berdaftar yang mengambil bahagian.

Sedia maklum pada 12 Jun 2018 empat parti kompenen Sarawak mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional setelah 44 tahun ‘bersama’.

Empat parti terbabit; Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), nekad keluar daripada BN sekali gus membentuk pakatan GPS.

GPS lahir pasca PRU14 susulan BN tumbang dalam PRU ke-14 seterusnya Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan persekutuan.

Author

Pilihan Editor