HomeBeritaBN Selangor kemuka tiga calon 'think tank' pada PRU15

BN Selangor kemuka tiga calon ‘think tank’ pada PRU15

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Selangor mencadangkan tiga calon ‘think tank’ paling sesuai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan membawa misi mengubah persepsi negatif terhadap parti sekali gus membantu membangunkan sosio-ekonomi negeri.

Ketua Komunikasi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tiga calon pilihan adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil; Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Professor Dr Haim Hilman Abdullah.

Katanya, tiga muka parti itu masing-masing berpengalaman luas dalam bidang politik, kemasyarakatan dan pentadbiran awam sesuai dengan keperluan pelan jangka panjang pembangunan sosial ekonomi BN Selangor.

“Usaha ini dibuat bagi membentuk saf kepimpinan bertaraf ahli strategik dan intelek di negeri ini.

“Peranan ahli strategik sangat penting bagi mendepani pola baharu pengundi pasca PRU 14 khususnya dari kalangan pengundi baharu berusia 18 tahun yang dipercayai masih kuat dipengaruhi politik persepsi,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di sini.

Justeru, katanya, BN Selangor yakin dengan pilihan berkenaan kerana percaya mereka mampu membawa kemenangan kepada BN untuk merampas Selangor.

“Ia akan turut mengubah landskap politik Selangor ke arah kerajaan intelek dan mesra generasi muda,” katanya.

Serba sedikit mengenai Hizatul Isham, beliau adalah pejuang sosial melalui platform politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mempunyai pelbagai kepakaran gerak saraf dan sosiologi untuk merangka pentadbiran kerajaan dan menangani isu rakyat.

Beliau mempunyai latar belakang akademik dalam bidang pentadbiran dari United Kingdom, berpengalaman menjawat beberapa posisi penting dalam organisasi kerajaan termasuk di syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dan Jabatan Perdana Menteri.

Rizam pula adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar yang bertanggungjawab penuh terhadap usaha menentang polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri, yang membabitkan pengabaian hak rakyat dan salahlaku tadbir urus kerajaan negeri.

Mempunyai latar belakang akademik dalam bidang kepimpinan dan pengurusan dari Australia, memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Professor Dr Haim pula seorang penganalisis politik yang banyak menyumbang idea dan pandangan berkaitan perkembangan politik Melayu di Malaysia pada era pasca PRU14.

Kecemerlangan beliau dalam bidang Pengurusan Strategik dan Pentadbiran dengan pelbagai penyelidikan di peringkat antarabangsa, menjadikan beliau antara Naib Canselor universiti termuda di negara ini yang dilantik ke jawatan itu pada usia sekitar 40an.

Author

Pilihan Editor