HomeBeritaRezeki dipenjara secara salah, Khairuddin terima RM300,000

Rezeki dipenjara secara salah, Khairuddin terima RM300,000

KUALA LUMPUR: Dipenjarakan secara salah adakala memberi rezeki luar jangka walaupun sudah hampir tujuh tahun berlalu.

Mahkamah Tinggi hari ini, mengarahkan ganti rugi RM300,000 dibayar kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, susulan penahanan tidak sah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 2015.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Quay Chew Soon, selepas mendapati Khairuddin berjaya membuktikan penahanannya di Penjara Sungai Buloh selama 56 hari itu dibuat menyalahi undang-undang.

Beliau juga mengarahkan kerajaan membayar kos RM50,000 kepada Khairuddin selaku plaintif, namun menolak dakwaan Khairuddin bahawa kerajaan membuat pendakwaan berniat jahat terhadapnya.

“Saksi defendan (kerajaan) menerusi prosiding kes ini gagal memberi bukti material bahawa plaintif perlu ditahan mengikut SOSMA. Saya meneliti hujahan pihak defendan yang reman plaintif selama enam hari bermula 18 September (2015) yang disifatkan tiada asas.

“Mahkamah berpendapat plaintif mempunyai hak untuk saman sivil terhadap defendan kerana ditahan secara tidak sah. Dalam hal ini, plaintif tidak menafikan kuasa pendakwaan pihak berkuasa.

“Plaintif kata ada salah guna kuasa dan pihak terbabit tidak kebal daripada tindakan undang-undang jika penahanannya dibuat tidak mengikut cara betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada prosiding menerusi aplikasi Zoom yang turut disertai peguam bela Khairuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Peguam Kanan Persekutuan mewakili defendan, Andi Razalijaya A Dadi.

Defendan pertama hingga keempat adalah dua pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman iaitu Asisten Superintendan Wan Aeidil Wan Abdullah, Asisten Superintenden C Muniandy, Superintenden Habibi Majinji selaku Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Turut dinamakan adalah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan kerajaan Malaysia, selaku defendan kelima hingga kelapan.

Khairuddin mendakwa ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan pada 23 September, tetapi ditahan semula mengikut SOSMA.

Dia kemudian dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L SOSMA atas dakwaan cuba sabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Secara keseluruhan, plaintif ditahan selama 56 hari di Penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes itu terhadap plaintif sebelum Khairuddin dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan.

Chew Soon, berkata tiada individu sepatutnya ditahan mengikut Akta SOSMA atas sebab kepercayaan dan aktiviti politik.

“Tujuan dan objektif Akta SOSMA adalah untuk menangani isu keganasan dan jenayah terancang. Bagaimana secara logik plaintif membuat laporan polis kepada pihak berkuasa di negara lain bagi menyuarakan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikatakan sebagai aktiviti keganasan,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin dalam kenyataan bersyukur keputusan mahkamah memihak kepadanya, namun mengarahkan peguamnya memfailkan rayuan ke atas keputusan hakim kerana kurang berpuas hati dengan jumlah ganti rugi ditetapkan.

“Hari ini kebenaran timbul untuk membuktikan perjuangan saya membuat laporan kes skandal 1MDB di Singapura, Hong Kong, Perancis, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) terbukti mempunyai asas kebenaran.

“Setelah saya buat laporan di enam negara itu, saya pulang ke tanah air dan ditangkap oleh polis sebelum didakwa mengikut SOSMA pada waktu itu. Khalid (Ketua Polis Negara ketika itu) menyatakan saya ditangkap kerana cuba mensabotaj sistem perbankan dan ekonomi negara kononnya.

“Pada realitinya, saya berkorban tenaga, wang ringgit serta keselamatan diri untuk buat laporan pada pihak penguat kuasa undang-undang di luar negara atas dasar untuk menyekat wang syarikat 1MDB terus dirompak,” katanya.

Author

Pilihan Editor