SHAH ALAM: Rutin latihan penerbangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini bertukar menjadi misi menyelamat apabila juruterbangnya mengesan lima pemancing terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai, Jeram, dekat sini.
Ketua Stesen Udara Maritim Subang Kepten (M) Syed Islam Shahajam berkata tiga daripada pemancing iaitu Mohd Yazid Basir, 37, Zamri Romli, 39, dan Mohd Razwan Hussin, 48, berasal dari Tanjung Karang manakala Hamidi Rohani, 70, dan Tohid Sangon, 65, dari Jeram.
Beliau berkata sebelum mereka dijumpai pada 10.20 pagi, lima kru APMM telah berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) menaiki helikopter AW139 sekitar 9.30 pagi menuju ke perairan Kapar, Klang bagi melakukan rutin latihan penerbangan termasuk winching.
Menurutnya setengah jam kemudian, juruterbang pesawat berkenaan menyedari lambaian meminta pertolongan daripada lima pemancing itu pada kedudukan 1.4 batu nautika Barat Laut Pantai Remis lalu membuat keputusan pantas menyelamatkan mereka.
âKeadaan laut bergelora di kawasan itu boleh merisikokan nyawa pemancing sekiranya mereka hanyut memandangkan mereka tidak memakai jaket keselamatan.
âSemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira 10.25 pagi dan diterbangkan ke SUMSÂ bagi mendapatkan rawatan kerana didapati lemah dan trauma. Mereka kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi rawatan susulan,â katanya dalam kenyataan.
Syed Islam berkata Mohd Razwan memaklumkan kepada APMM bahawa pada awalnya dia bersama Mohd Yazid dan Zamri dihantar oleh sebuah bot dari Tanjung Karang ke pulau berkenaan pada 7.20 malam semalam dan sepatutnya pulang pagi tadi.
âSekitar 8.30 pagi tadi, bot tersebut tiba dan menurunkan dua lagi pemancing dari Jeram (Hamidi dan Tohid) di lokasi kejadian (Pulau Batu Berantai) kerana mempunyai urusan lain di Pulau Angsa. Bot tersebut kemudian tidak muncul kerana dipercayai terkandas akibat cuaca buruk sebelum mereka (pemancing) melihat helikopter APMM berlegar di kawasan perairan itu.
âMereka seterusnya melambai tangan meminta pertolongan kerana bimbang keadaan bertambah buruk. Terdapat juga barang peribadi mangsa antaranya telefon bimbit, jaket keselamatan dan perkakas memancing dihanyutkan ombak serta arus laut menyebabkan mereka tidak dapat menghubungi sesiapa bagi meminta pertolongan,â katanya. – BERNAMA