HomeBeritaSektor awam 'mengelak' laksana gaji minimum

Sektor awam ‘mengelak’ laksana gaji minimum

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 sebulan yang dikuatkuasakan pada 1 Mei 2022, sepatutnya dinikmati pekerja di seluruh negara.

Anehnya, hanya sektor swasta didakwa melaksanakan penetapan kadar gaji baharu khususnya kepada pekerja pembersihan, tukang kebun, dan pengawal keselamatan, yang selaras dengan tuntutan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Justeru, wakil syarikat pengawal keselamatan yang mempunyai kira-kira 500 pelanggan sektor swasta dan kerajaan, Pengarah Urusan SATRIA, Afif Johor, menggesa kerajaan menjelaskan kenapa pelaksanaan gaji minimum itu dilihat ‘berat sebelah’.

Katanya, sepatutnya dasar gaji minimum ini dimulakan oleh sektor kerajaan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan sektor swasta.

“Bagaimanapun ia tidak berlaku, sejak tiga bulan selepas pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kita lihat hanya sektor swasta yang menyahut saranan PM.

“Kita memang sokong usaha kerajaan mengenai gaji minimum baharu ini, kerana ia membantu ekonomi pekerja terutama warga Malaysia.

“Cuma kita merayu supaya agensi kerajaan sendiri dapat melaksanakan pembayaran secepat mungkin sebab sampai sekarang untuk agensi kerajaan yang kita ‘serve’, tiada siapa yang naikkan lagi, masih ikut kontrak lama (sebelum Mei),” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Dalam pada itu, Afif menjelaskan, kira-kira 1,000 syarikat keselamatan seluruh negara terkesan akibat masalah itu, termasuk syarikatnya yang mempunyai 300 pelanggan sektor kerajaan.

“Saya cuma minta kerajaan percepatkan penjelasan sebab kalau kita tak dapat ikut (gaji pekerja sektor kerajaan) nanti kita kena saman daripada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Bukan kita tak nak naikkan (gaji), macam mana kita nak naikkan kalau pelanggan (sektor kerajaan) tak naik. Isunya nak menanggung perbezaan (pekerja ramai) terlalu tinggi, sektor kerajaan dalam industri sahaja dah beratus ribu,” katanya.

Author

Pilihan Editor