HomeTeknologiKeputusan status serpihan roket akan diumum waktu terdekat

Keputusan status serpihan roket akan diumum waktu terdekat

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dijangka mengumumkan status dua objek yang dipercayai sisa serpihan roket Long March 5B milik China hujung minggu ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, siasatan sedang dijalankan Jabatan Kimia Malaysia dengan bantuan sepenuhnya oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).

“Kita akan lihat bahan ini menepati atau tidak Long March 5B yang dilancarkan oleh China.

“Kita akan maklumkan keputusannya hujung minggu ini, badan induk Long March 5B kita tahu berada di angkasa.

“Sekarang ada 2,000 satelit aktif yang mengelilingi orbit, ada banyak sangat yang ada di angkasa,” katanya pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi di Aloft Kuala Lumpur Sentral.

Dua objek yang dipercayai sisa serpihan roket Long March 5B milik China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam Rabu.

Dua objek itu dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri di Sarawak pada Ahad.

Ia selepas berlaku kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China sekitar 12.55 pagi dengan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

Video kejadian itu sempat dirakam penduduk di negeri itu sebelum tular di media sosial.

Author

Pilihan Editor