HomeHiburanShuib ganti Fizi di Suria FM

Shuib ganti Fizi di Suria FM

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib menamatkan teka-teki mengenai penyampai baharu segmen pagi di Suria FM bagi menggantikan Fizi Ali apabila dia diumumkan sebagai ahli keluarga terbaharu stesen radio tersebut.

Dia yang juga usahawan akan memulakan tugas esok bergandingan bersama Suraya Borhan dan Ajak.

Pengumuman tersebut dibuat secara terbuka oleh Pengurus Besar Suria FM yang juga penyampai Suria Cinta iaitu DJ Lin sebelum tamat siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell bertempat di IOI City Mall di Putrajaya semalam.

“Kita harap dengan pelantikan Shuib akan memberikan impak lebih baik kepada pasukan Suria sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar baharu.

“Kita juga berterima kasih kepada Shuib kerana sudi menyertai kami sebagai penyampai Suria Pagi yang dikenali sebagai Morning Morning Suria,” katanya kepada media.

Sebelum ini selepas enam tahun menabur bakti bersama Suria FM, Fizi membuat keputusan untuk meninggalkan stesen radio tersebut sekitar Julai lalu.

Dia menyertai Hot FM apabila disahkan menjadi ahli keluarga baharu stesen radio tersebut bermula awal Ogos lalu bergandingan bersama pelawak Fad Bocey menerusi segmen Sembang Squad.

Sementara itu, Jelajah Suria 90 Memang Cantik Kak Ell memasuki siri terakhir semalam selepas menjelajahi beberapa negeri seperti Kuantan, Pahang, Alor Setar, Kedah dan Johor Bahru, Johor bermula awal bulan ini.

Hampir 12,000 pengunjung hadir menyaksikan persembahan gandingan artis 1990-an terkenal seperti Amir UK’s, Mus dan barisan artis popular seperti Dayang Nurfaizah serta Ziana Zain.

Tidak ketinggalan, persembahan turut diserikan dengan barisan artis muda seperti Haqiem Rusly, Wany Hasrita, Imsomniacks, Floor 88, Iman Troye, Amir Masdi, Nuha Bahrin dan Naufal Azrin.

Author

Pilihan Editor