HomeBeritaSHUT bantu kerajaan tangani pemerdagangan manusia

SHUT bantu kerajaan tangani pemerdagangan manusia

PETALING JAYA: Pertubuhan Henti Pemerdagangan Manusia (SHUT) sedang bekerja keras menggerakkan program kesedaran mengenai anti pemerdagangan manusia dalam negara.

SHUT sedang dalam usaha untuk membantu kerajaan, meletakkan kedudukan negara lebih tinggi dalam menangani pemerdagangan orang melalui program kesedaran bersama pelbagai peringkat.

Pengasas pertubuhan henti pemerdagangan manusia, Stop Human Trafficking (SHUT), Dini Dalilah Wan Nordin, berkata Malaysia ketika ini berada pada kedudukan berisiko tinggi bagi kes pemerdagangan manusia.

Katanya, Malaysia merekodkan kedudukan tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) Mengenai Pemerdagangan Orang (Us Tip Report) selama dua tahun berturut-turut.

“Malaysia di kedudukan Tier 3, ‘high alert’ (berisiko tinggi), maknanya berbahaya pada negara (kesan kes pemerdagangan).

“Jadi, kita mahu bekerja lebih lagi untuk naikkan (kedudukan) lebih tinggi. Kita banyak buat program kesedaran dan ada kerjasama sebagai rakan strategik dengan. MAPO (Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran).

“Kita juga ada buat program di sekolah, IPG (Institut Pendidikan Guru), syarikat korporat termasuk golongan sasar yang menjadi mangsa pemerdagangan seperti wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MEDIA VARIASI, selepas Majlis Persidangan Penerbangan Menentang Pemerdagangan Manusia dan Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan SHUT di Akademi MAB, Kelana Jaya, di sini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hadir menyaksikan majlis tandatangan itu yang turut diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Author

Pilihan Editor