HomeBeritaSyed Saddiq beri tiga cadangan elak ketirisan ketenteraan

Syed Saddiq beri tiga cadangan elak ketirisan ketenteraan

DANG WANGI: Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengetengahkan tiga cadangan bagi mencegah ketirisan dalam aset ketenteraan.

Beliau berkata, pertama perlu ada satu sidang khas parlimen supaya ada kerjasama bipartisan mencari jalan tengah dan mencari hala tuju dunia ketenteraan kita.

“Kerana apa-apa perancangan berkaitan ketenteraan perlu ada semua parti hanya tempoh masa pendek kerana kerajaan bertukar-tukar, berbilion ringgit melangkaui satu penggal.

“Kalau ada sidang khas, bukan hanya untuk tuding jadi tetapi juga kita buat satu ‘white paper’ ingin dibentangkan, sebelum ini ia pernah dibincangkan.

“Supaya walaupun ada perubahan kerajaan tetapi bab perbelanjaan ketenteraan yang cekap dan adil dapat dijalankan tak kira siapa Menteri Pertahanan.

“Keduanya bukan sahaja keperluan RCI tetapi juga perlu pendakwaan dibuat, sebab nama-nama sudah keluar dalam laporan PAC dan audit forensik dijalankan dan ambil tindakan terus ke atas nama-nama tersebut apa lagi nak tunggu.

“Dan terakhir ialah walaupun kita perjuangkan menentang penyelewengan dalam ketenteraan ini itu tak bermakna bahawa kita ingin merampas hak ATM untuk dilengkapi dengan peralatan canggih tak kira jet ataupun LCS,” katanya kepada media ketika hadir dipanggil beri keterangan perhimpunan Mana Kapal LCS di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Terdahulu, polis sudah mengenal pasti 13 individu yang terbabit dalam perhimpunan ‘Mana Kapal LCS?’ yang diadakan di pusat beli-belah di hadapan Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata semua 13 individu terbabit akan untuk diambil keterangan dalam masa terdekat susulan perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang jam 2 petang tadi.

Hasil pemerhatian mendapati kira-kira 60 individu menyertai protes termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik.

Sehingga kini, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Selain Syed Saddiq, peguam terkenal, Siti Kassim turut hadir.

Tambah Ahli Parlimen Muar itu, jangan hanya kerana penyelewengan dibongkar, peruntukan dalam ketenteraan turut diturunkan.

“Sepatutnya kita nak fokus lebih dan pastikan setiap sen jadi peruntukan dan dibelanjakan dengan baik.

“Ambil duit itu gunakan untuk perkara-perkara yang baik, bukan pendidikan kesihatan kerana semua ada peruntukan, tetapi dalam ketenteraan perlu lengkapi tentera kita secukup mungkin,” katanya.

Author

Pilihan Editor