HomeHiburanThe Lord Musang King batu loncatan hampiri Oscar

The Lord Musang King batu loncatan hampiri Oscar

PETALING JAYA: Sebelum ini produksi Malaysia berkolaborasi dengan pelakon Indonesia hebat menghasilkan filem berkualiti, Mat Kilau sehingga mencetus fenomena.

Buat julung kalinya, produksi negara menjalinkan kerjasama dengan pengarah terkenal Korea Selatan, Lee Moon Ho, menerbitkan filem baharu bertemakan aksi, The Lord Musang King.

Ia menunjukkan sekali gus industri kreatif dan perfileman negara semakin proaktif membawa nama Malaysia merealisasikan impian menembusi pentas seni antarabangsa, menerusi program Road To Oscar.

Justeru, The Lord Musang King juga dijangka menjadi batu loncatan kepada industri pelancongan negara dalam mempromosi buah-buahan tempatan eksotik selain seni silat kepada dunia.

Filem baharu itu diterbitkan oleh Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd diterajui oleh penerbit eksekutifnya, Ong Peng Chu; penolong penerbit eksekutif, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar; penerbit, Eddie Chow, dengan sentuhan pengarah terkenal Korea Selatan, Lee Moon Ho.

 Zahidi Zainul Abidin ketika gimik Majlis Pra Pelancaran Filem The Lord Musang King. Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Adam Ham (kiri), Penerbit Eksekutif Ong Peng Chu (tiga, kanan) dan Penolong Penerbit Eksekutif Datuk Seri Zaienal Abidin Omar (dua, kiri).

Zaienal Abidin berkata, usaha itu dilihat membuka ruang kepada industri kreatif negara untuk mempelajari ilmu berharga daripada yang lebih berpengalaman dan hebat seperti Moon Ho.

“Pengarah Korea Selatan sanggup datang ke Malaysia untuk bekerjasama dan berkongsi pengalaman bersama artis, kru dan pengarah tempatan di sini walaupun mempunyai masa dua bulan sahaja.

“Kita sepatutnya membuka ruang kepada diri untuk belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dan sanggup datang ke sini, dan pada masa yang sama ia peluang kerjasama membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Dia bukan jajah tapi berkongsi pengalaman dan sudi kerjasama ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MEDIA VARIASI selepas menghadiri sidang media pra pelancaran filem The Lord Musang King yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin di Mutiara Damansara, di sini.

Pada majlis itu, Zahidi berkata, K-KOMM memberi sokongan padu dan berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat memberi bantuan daripada segi geran atau dana untuk membiayai kos promosi.

Antara barisan pelakon filem pada Majlis Pra Pelancaran Filem The Lord Musang King yang diterbitkan oleh Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd di Mutiara Damansara.

Filem berkenaan menampilkan 95 peratus anak tempatan yang membariskan antaranya Yusof Bahrin, Fimie Don, Jay Iswazir, Harissa Adlynn Halim dan ramai lagi, manakala lima peratus pelakon Korea Selatan.

Sementara itu, Ong Peng Chu berkata, filem aksi elemen kung fu itu akan turut membawa seni bela diri tempatan yang lain.

Majlis Pra Pelancaran Filem The Lord Musang King yang diterbitkan oleh Hundred Years Popcorn Production Sdn Bhd di Mutiara Damansara.

“Kami ada bercadang untuk memperkenalkan elemen seni bela diri seperti silat dan berharap dapat mempromosi silat kepada dunia melalui filem ini,” katanya.

Filem berkisar Haikal, iaitu anak pekebun durian yang berjaya, diperdaya dan dipenjarakan.

Demi menyelamatkan Haikal, bapanya, Samad membuat perjanjian dengan syarikat perdagangan antarabangsa untuk membebaskan anaknya.

Namun, Samad dibunuh ‘taikun’ Korea Selatan ketika cuba membebaskan anaknya.

Selepas menyedari kejadian sebenar, Haikal tampil menuntut bela atas kematian bapanya itu.

Penggambaran di Malaysia bermula Khamis depan selama 21 hari.

Author

Pilihan Editor