HomeBeritaTRIS perlu dilihat dari impak keseluruhan - SHUT

TRIS perlu dilihat dari impak keseluruhan – SHUT

PETALING JAYA: Kerajaan perlu melihat impak keseluruhan pelaksanaan Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian atau Tracking Refugees Information System (TRIS).

Ini kerana, TRIS berkemungkinan boleh dimanipulasi secara tidak langsung, sehingga boleh menganggu gugat hak keistimewaan warganegara rakyat Malaysia yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengasas pertubuhan henti pemerdagangan manusia, Stop Human Trafficking (SHUT), Dini Dalilah Wan Nordin, berkata meskipun menyambut baik pelaksanaan TRIS, namun kerajaan perlu mewujudkan garis had berikutan kewarganegaraan amat berharga bagi sebuah negara demokrasi ini.

“Saya rakyat Malaysia. Saya sangat faham (impak TRIS), dari segi kenapa saya sebagai rakyat Malaysia tetapi hak saya dan hak mereka (pelarian) sama rata? Jadi di situ, kerajaan kena mainkan peranan.

“Ada ketika pada satu tahap, kita perlu ada had tetapi jangan sampai ada antara mereka tidak boleh ke sekolah. Apabila tidak diberi peluang ke sekolah, dia merempat dan ia tidak langsung cenderung melakukan jenayah.

“Pada saya kita kena tengok dari sudut ‘big picture’ keseluruhan. Pada akhirnya nanti, impak pada diri kita semula, beri hak pada mereka tetapi jangan terlalu banyak sebagaimana rakyat Malaysia dapat,” katanya mengulas mengenai TRIS.

Beliau berkata demikian kepada MEDIA VARIASI, selepas Majlis Persidangan Penerbangan Menentang Pemerdagangan Manusia dan Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan SHUT di Akademi MAB, Kelana Jaya, di sini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hadir menyaksikan majlis tandatangan itu yang turut diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Terdahulu, TRIS diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini, dipercayai mampu membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguruskan pelarian dengan lebih sistematik berdasarkan ciri keselamatan dan pengesahan identiti berteknologi tinggi.

Pelarian berkenaan di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Bagaimanapun, sistem sebegini terdedah bahaya kerana pelarian dan warga asing boleh memperolehi dokumen pengenalan diri, lesen menunggang motosikal dan memandu kenderaan selain berpeluang untuk mencari rezeki di Malaysia.

Pelarian UNHCR juga didakwa dapat membuka akaun bank sendiri atau erti kata lain boleh membuka perniagaan sendiri dan menyertai skim insuran dan takaful berdaftar untuk mendapatkan perlindungan.

Sementara itu, Dini Dalilah berkata, pertubuhan SHUT bertanggungjawab memberi kesedaran kepada masyarakat melalui pelaksanaan program mengenai pemerdagangan manusia.

“SHUT lebih kepada program kesedaran, di mana lebih kepada mangsa (pemerdagangan) yang datang, kita bantu,” katanya.

Author

Pilihan Editor