HomeHiburanWinnie terkedu dapat pujian Harith, Ajai

Winnie terkedu dapat pujian Harith, Ajai

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Penyanyi Iban Sarawak, Winnie Albert akui terkedu, kehilangan kata sejak videonya menyanyikan lagu ‘Percayalah’ dari Datuk Seri Siti Nurhaliza tular beberapa hari ini.

“Sejujurnya, saya tidak menjangkakan perkara ini berlaku sama sekali,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI malam tadi.

Sambutan di luar jangka ini kata Winnie diterimanya bukan sahaja daripada rakyat Sarawak malahan turut mencuri perhatian beberapa selebriti terkenal Malaysia.

“Saya sangat gembira dan tidak pernah menyangka mendapat pujian daripada dua selebriti bernama besar iaitu Harith Iskander dan Ajai,” ujarnya.

Bagi Winnie pujian daripada dua selebriti menjadi kebanggaan buat rakyat Sarawak oleh kerana bakat serta kemampuan suaranya memukau semua pihak serta pengamal industri seni Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Harith dan Ajai serta semua peminat yang sentiasa mendokong saya dan perjalanan seni saya,” ujarnya

Sementara disoal mengenai perkembangan terkini perjalanan seninya, Winnie memberitahu dia kini sibuk memenuhi undangan nyanyian di seluruh negeri ini serta di Johor dan Kuala Lumpur.

Setelah tular begini, Winnie menyimpan harap ingin mengharumkan nama industri muzik Dayak serta memartabatkan seni untuk Iban Dayak ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

Video Winnie melantun suara lagu penyanyi nombor satu negara sekali mencetus fenomena di media sosial hari ini setelah menarik perhatian pelawak terkenal Harith Iskander dan Ajai, komposer lagu Percayalah berkenaan.

Sementara satu akaun Tiktok dengan nama @dinozonefc9 memuatnaik video Winne menyanyi di sebuah kedai makan baru-baru ini mendapat 50,400 tanda suka serta lebih 5,000 komen.

Author

Pilihan Editor