HomeBeritaDari Menteri Besar, Hasni kini Pengerusi LLM

Dari Menteri Besar, Hasni kini Pengerusi LLM

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengesahkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), berkuat kuasa 15 Ogos lalu.

Pelantikan itu diumumkan melalui Twitter miliknya hari ini.

“Tugas baharu pada peringkat Persekutuan. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia.

“Saya bersedia untuk menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti,” tulisnya.

Pelantikan Hasni, 63, adalah untuk tempoh dua tahun hingga 14 Ogos 2024.

Dalam ciapan itu, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor turut menyertakan rakaman gambar beliau bersama Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan.

Pada Mac lalu, Hasni tidak dilantik semula Menteri Besar Johor susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan dilantik sebagai Menteri Besar baharu selepas mendapat perkenan Sultan Johor.

Author

Pilihan Editor