HomeHiburanNabila kongsi gambar bersama Engku Emran

Nabila kongsi gambar bersama Engku Emran

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Kakak kepada selebriti popular Neelofa iaitu Noor Nabila akhirnya berkongsi foto bersama suaminya, Engku Emran sekaligus menamatkan dakwaan mengenai rumah tangga mereka goyah.

Menerusi InstaStory miliknya, Engku Emran dalam foto tersebut dilihat merangkul bahu isterinya dan sedondon dengan persalinan serba putih.

Difahamkan, perkongsian tersebut dimuat naik sempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-38 semalam yang dihadiri ahli keluarga terdekat.

Sebelum ini khabar angin mengenai dakwaan perceraian mereka turut tular dan heboh bukan sahaja di Malaysia malah sehingga mendapat perhatian media Indonesia.

Khabar angin tersebut mula tercetus apabila Nabila memadam semua foto bersama Engku Emran termasuk momen pernikahan mereka serta menukar gambar profil akaun Instagramnya.

Bagaimanapun, pada bulan lalu, dia yang juga seorang usahawan pernah memuat naik video yang memperlihatkan kelibat Engku Emran sedang menunaikan solat.

Untuk rekod, sebelum menikahi Nabila pada 19 Mac tahun lalu, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan dua selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.

Malah dia juga pernah berkahwin dengan aktres popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara Nabila pernah berkahwin dengan aktor, Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.

Author

Pilihan Editor