HomeSukanDikaitkan ke Chelsea, pemain Brighton rayu Graham Potter terus kekal

Dikaitkan ke Chelsea, pemain Brighton rayu Graham Potter terus kekal

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

NAMA Graham Potter disebut-sebut bakal menjadi pengurus baru Chelsea.

Namun begitu, pemain Brighton & Hove Albion, Alexis Mac Allister berharap isu tersebut tidak jadi kenyataan.

“Jujur saya belum tahu (soal isu perpindahan Potter ke Chelsea), saya tidak tahu apa-apa. Kami belum bercakap situasi tersebut saat ini. Tapi dia sangat penting untuk kami dan kami ingin dia kekal selama mungkin di sini,” ujar pemain asal Argentina itu kepada Sky Sports.

Chelsea baru saja memecat Thomas Tuchel akibat kekalahan 0-1 kepada Dinamo Zagreb pada saingan pembukaan kumpulan Liga Juara-Juara 2022/2023.

Keputusan itu meletakkan perjalanan Chelsea awal musim ini kelihatan suram.

Ada empat calon utama untuk menggantikan Tuchel.

Salah satunya adalah Graham Potter yang kini membimbing Brighton. Potter dikatakan sudah diberikan keizinan untuk berunding dengan Chelsea bagi mengisi posisi yang ditinggalkan Tuchel.

Potter disebut pilihan terbaik kerana merupakan pengurus muda berpotensi di Liga Perdana Inggeris ketika ini.

Sejak melatih Brighton pada musim panas 2019, Potter sudah membawa pasukan itu berada di kelompok kedudukan kesembilan terbaik musim lepas.

Brighton juga belum tewas selepas bermain enam perlawanan liga.

Author

Pilihan Editor