HomeBeritaDr Azizan bimbing 25 orang usahawan desa pilihan KPLB

Dr Azizan bimbing 25 orang usahawan desa pilihan KPLB

PUTRAJAYA: Seramai 25 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terpilih untuk berada bawah bimbingan mentor terkenal, Datuk Dr Azizan Osman.

Mereka bakal mengikuti Aktiviti Bimbingan KU1J@KPLB yang dikendalikan secara eksklusif oleh pihak Richworks International Sdn Bhd.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usahawan-usahawan berkenaan datang daripada pelbagai agensi seperti MARA, RISDA dan FELCRA.

“Mereka sudah ada asas perniagaan bukan baharu niaga tetapi akan dbimbing dan diberi tunjuk ajar secara hibrid (fizikal/ maya) selama 12 bulan oleh pasukan Richworks bagi mencapai jualan tahunan sebanyak RM1 juta dalam tempoh 6 bulan sehingga 1 tahun.

“Dalam tempoh bimbingan ini, mereka akan didedahkan mengenai pengurusan pemasaran, pematuhan, operasi, kepimpinan, pembangunan perniagaan dan aktiviti pemantauan,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di sini, semalam.

Ketika ini, terdapat lebih 64,000 usahawan desa di bawah KPLB yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan, merangkumi empat sektor utama iaitu pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa.

Mahdzir ketika ditanya bagaimana membantu usahawan desa yang kurang mahir menggunakan internet bagi mempromosikan produk mereka, beliau menjelaskan menerusi aplikasi e-dagang yang dibangunkan khusus e-Desa dan e-Lokal mampu mengatasi isu ini.

“Kuasa internet, Tik Tok, Facebook live serta viral dalam dunia digital juga boleh mencetuskan suatu fenomena baharu keusahawanan.

“Selain itu, ekonomi digital gelombang baharu ini bukan sahaja mampu mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan, malahan dapat meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh, termasuklah usahawan-usahawan di luar bandar melalui jangkauan pemasaran yang lebih luas,” katanya.

Author

Pilihan Editor