HomePendidikanGraduan UCL Orang Asli Semenanjung pertama terima ijazah kelas pertama

Graduan UCL Orang Asli Semenanjung pertama terima ijazah kelas pertama

KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah sekali lagi menerusi pencapaian Susherri Suki sebagai Orang Asli pertama Semenanjung menerima anugerah Ijazah Kelas Pertama, University College London (UCL), United Kingdom.

UCL adalah universiti terkemuka dunia dengan ranking kelapan berdasarkan QR World University Ranking 2023.

Menurut hantaran dimuat naik menerusi Facebook Persatuan Orang Asli Perak, Susherri Suki menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah di Bartlett School of Planning di UCL.

Susherri Suki adalah pelajar tajaan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah Program Young Talent Programme (YTP) bagi melanjutkan program Ijazah Sarjana Muda dengan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu 10 A.

Beliau kini berjaya mendapat tawaran bagi menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Rekabentuk Bandar & Perancangan Bandar di universiti sama.

Susherri Suki adalah anak kelahiran suku Semai, di Perak dan ibu bapanya dari suku kaum sama, namun masing-masing berasal dari Kampung Orang Asli Chinggung, Behrang Ulu, Tanjung Malim, dan Kampung Orang Asli Ulu Geruntum, Gopeng.

Uniknya, selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, beliau juga fasih pelbagai bahasa Orang Asli Semai, dan Cina-Mandarin.

Sangat aktif dalam pelbagai aktiviti di peringkat universiti dan juga di luar universiti, dengan terbabit dalam Pertubuhan Diraja Perancangan Bandar (Royal Town Planning Institute – RTPI), menjawat jawatan Ketua Biro Publisiti Bartlett Urban Planning Society; Ketua Biro Perhubungan & Korporat UCL Malaysia Society, Ahli Persatuan Orang Asli Perak (POAP) dna Ahli Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA)

Warga Malaysia khususnya orang Perak berbangga dengan pencapaian wanita hebat terbabit.

Author

Pilihan Editor