HomeBerita'Hero Malaya' Samy Vellu meninggal dunia

‘Hero Malaya’ Samy Vellu meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kerja Raya, Tun Dr S Samy Vellu meninggal dunia awal pagi tadi.

Difahamkan bekas Presiden MIC itu meninggal dunia di kediamannya di ibu negara pada usia 86 tahun.

Perkara itu disahkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan di Facebook beliau sebentar tadi.

“Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri legenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Paari,” katanya.

Mendiang digelar sebagai ‘Hero Malaya’ oleh akhbar Utusan Melayu (18 September 1963) dalam satu satu insiden di Kedutaan Indonesia.

Samy Vellu menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010.

Beliau juga antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat, iaitu selama 29 tahun.

Beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya daripada 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Sementara itu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat dan negara. Jasa dan pengorbanan mendiang selama menjadi Presiden MIC serta menteri Kabinet akan terus dikenang. Semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Author

Pilihan Editor