HomeNiagaKadar GST dijangka 4-6 peratus jika diumum dalam Bajet 2023

Kadar GST dijangka 4-6 peratus jika diumum dalam Bajet 2023

KUALA LUMPUR: Sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimasukkan dalam Bajet 2023, kerajaan boleh mempertimbangkan kadar di antara empat hingga enam peratus berikutan penilaian yang ketat terhadap hasil yang boleh dikutip untuk menyokong perbelanjaannya, kata Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd (EY).

Rakan Kongsi Pengurusan Cukai EY Malaysia, Farah Rosley, berkata kemungkinan untuk memperkenalkan semula GST telah menjadi topik perbincangan dan beliau percaya GST yang menjadi cukai penggunaan yang meluas akan menyumbang kepada kutipan hasil negara.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar GST mestilah munasabah dan tidak membebankan pengguna dan pembayar cukai, manakala pelaksanaan serta pematuhannya perlu dipermudahkan dengan kesan minimum kepada perniagaan.

“Komunikasi dengan pihak berkepentingan termasuk perniagaan adalah penting dan mempercepatkan pembayaran balik GST serta mempunyai sistem yang mudah dan telus juga penting bagi menjayakan semula GST.

“Masa yang mencukupi mesti diberikan kepada perniagaan untuk bersedia dengan pelaksanaannya,” katanya kepada Bernama melalui emel baru-baru ini apabila ditanya mengenai harapan syarikat untuk Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022.

Farah berkata, kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk memperkenalkan ‘hala tuju cukai’ yang mewujudkan perubahan penting kepada rejim cukai di negara ini, bersama-sama dengan garis masa untuk perundingan dan tarikh untuk diperkenalkan serta rasional bagi memperkenalkan cukai yang relevan untuk memberi keselesaan dan kepastian kepada pelabur.

Mengenai cukai baharu bagi meningkatkan hasil cukai kerajaan, Farah berkata sebelum memperkenalkan sebarang cukai baharu, kerajaan perlu menjalankan kajian secara menyeluruh dan berunding dengan pihak awam yang sewajarnya.

“Jika ada cukai baharu, seharusnya ia merangsang aktiviti ekonomi sektor swasta,” katanya.

Menurut Farah, kerajaan perlu peka terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan memastikan sektor itu tidak terjejas dengan cukai baharu, terutamanya semasa tempoh pemulihan selepas pandemik COVID-19.

“Secara keseluruhannya, perlu ada keseimbangan dalam meningkatkan kutipan hasil cukai dan menarik pelaburan ke dalam negara. Cukai tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk perniagaan beralih ke sektor tidak formal atau menutup operasinya di Malaysia,” tambah beliau.

Farah turut menolak kemungkinan Cukai Makmur akan diteruskan dalam Bajet 2023.

Beliau berkata, Cukai Makmur adalah cukai sekali sahaja yang diperkenalkan dalam bajet 2022 yang mana kadar cukai pendapatan yang tinggi sebanyak 33 peratus dikenakan ke atas pendapatan bercukai melebihi RM100 juta, manakala pendapatan bercukai sehingga RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar 24 peratus.

“Tidak mungkin Cukai Makmur akan diteruskan atau dilanjutkan dalam Bajet 2023.”

Mengenai cukai minimum global 15 peratus yang mana Malaysia bersama-sama 135 negara lain secara prinsipnya telah bersetuju untuk mengenakannya kepada syarikat multinasional (MNC) tertentu mulai tahun depan, Farah berkata bagi memastikan daya saing Malaysia, kerajaan mesti memastikan insentif perlu disesuaikan berdasarkan keperluan pelabur individu.

“Mengenai perkara ini, perlu diambil perhatian bahawa kerajaan Malaysia telah memperkenalkan peruntukan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 yang membenarkan Menteri Kewangan menetapkan kadar cukai sehingga 20 peratus untuk beberapa tahun tertentu bagi aktiviti yang diluluskan, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

“Ini memberikan fleksibiliti kepada kerajaan untuk menyesuaikan pakej insentif cukai bagi menarik jenis-jenis pelaburan yang diperlukan untuk negara,” katanya.

Beliau menyatakan cukai minimum global secara amnya hanya akan memberi kesan kepada kumpulan korporat yang mempunyai lebih daripada 750 juta euro dalam perolehan kumpulan yang disatukan, manakala kumpulan dengan perolehan yang kecil tidak akan tertakluk kepada cukai minimum global.

Farah mencadangkan supaya kerajaan terus menilai kadar cukai pendapatan korporat pada masa hadapan, kerana kadar cukai pendapatan korporat yang lebih rendah boleh menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelabur asing.

“Kadar cukai pendapatan korporat berkanun kita pada masa ini adalah 24 peratus, lebih tinggi daripada kadar cukai minimum global 15 peratus, dan juga lebih tinggi daripada kadar cukai di negara jiran, yang secara amnya tidak melebihi 20 peratus,” katanya.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan terus menyediakan persekitaran yang mesra perniagaan dan kos yang kompetitif dengan infrastruktur bertaraf dunia untuk menggalakkan pelaburan langsung asing dan domestik serta insentif hijau bagi menyokong pelaburan yang mampan.

“Kerajaan juga harus menyediakan insentif untuk meningkatkan inovasi dan produktiviti, contohnya seperti memberikan pelepasan cukai untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Adalah amat penting untuk mengukur hasil dan pertumbuhan perniagaan yang telah diberikan insentif, dalam memastikan insentif mencapai matlamat yang diingini,” katanya. – BERNAMA

Author

Pilihan Editor