HomeBeritaKerajaan bangunkan Pusat Kecemerlangan RISDA RM15 juta

Kerajaan bangunkan Pusat Kecemerlangan RISDA RM15 juta

PADANG TERAP : Kerajaan berhasrat untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM15 juta, di daerah ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Pembinaan itu katanya, sebagai langkah persediaan dalam mempersiapkan tenaga kerja di Kedah Rubber City (KRC), tidak lama lagi.

Menurut Perdana Menteri, pusat kecemerlangan itu berperanan untuk memberi latihan kepada anak tempatan bagi mendalami ilmu berkaitan industri getah.

Langkah itu katanya diyakini mampu membantu masyarakat setempat mendapatkan latihan terbaik sebelum bekerja di KRC.

Justeru katanya, nilai pelaburan KRC dianggarkan berjumlah RM3 bilion dan dijangka terus meningkat mencecah RM10 bilion pada masa akan datang.

“Saya dimaklumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa
KRC akan membuka hingga 6,000 peluang pekerjaan.

“Jadi sudah pastilah yang akan mengisi peluang pekerjaan itu merupakan warga Padang Terap.

“Oleh itu saya nak maklumkan bahawa kerajaan akan wujudkan Pusat Kecemerlangan RISDA dengan kos RM15 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia Padang Terap di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang, di sini.

Lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum hadir ke program tersebut yang diadakan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, Padang Terap yang juga daerah bersempadan dengan Thailand, dijangka menjadi sebuah daerah maju dalam waktu terdekat kesan daripada limpahan ekonomi yang dibawa KRC.

Justeru katanya bagi menyokong pembangunan itu, kerajaan bercadang untuk membangunkan pelbagai infrastruktur termasuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta pembangunan infrastruktur lain seperti jalan empat lorong dari Pokok Sena ke Durian Burung.

“Sebelum ini ketika saya bertemu bekas Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha, kami berdua bersetuju untuk membangunkan kawasan bandar bersempadan di kedua-dua negara.

“Ini kerana sumbangan perdagangan di sempadan adalah cukup besar iaitu mencecah USD10 bilion (RM44.8 bilion).

“Jumlah itu sebahagian daripada nilai perdagangan antara Malaysia dan Thailand berjumlah USD 23 bilion (RM103 bilion).

“Oleh itu kita akan bangunkan kawasan bandar sempadan termasuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta pembangunan infrastruktur lain seperti jalan empat lorong tersebut demi menyokong pembangunan di sini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kemajuan pembangunan KRC berada di landasan tepat.

Ia termasuk menaik taraf jumlah bekalan elektrik dan Loji Rawatan Air (LRA) Padang Sanai bagi memenuhi keperluan dan kegunaan KRC yang sekaligus memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

“Sudah ada syarikat yang memohon kebenaran merancang untuk membina kilang, cumanya kita minta supaya serentak dengan Kerajaan Negeri iaitu sambungan bekalan elektrik Jitra daripada Tanjung Pauh ke KRC dimana yang itu dah lulus cuma kita mohon untuk dipercepatkan.

“Yang keduanya, membesarkan LRA Padang Sanai untuk membolehkan bekalan air, itupun dah ada bajet di bawah Northern Corridor Implementation Authority (NCIA),” kata Mahdzir.

Author

Pilihan Editor