HomeSukanPETRONAS LTdL 2022: 6 pasukan elit dunia sahkan penyertaan  

PETRONAS LTdL 2022: 6 pasukan elit dunia sahkan penyertaan  

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

SELEPAS beberapa bulan ditunda serta perubahan tarikhnya akibat pandemik COVID-19, penantian itu tampak berbaloi apabila penganjur PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, Human Voyage (M) Sdn Bhd mengumumkan enam pasukan elit dunia akan menghiasi perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia berstatus 2ProSeries itu yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 18 Oktober depan.

Enam pasukan berstatus WorldTeams yang akan menghangatkan persaingan lapan peringkat jelajah sejauh 1,183km bermula di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan berakhir di Pulau Langkawi itu adalah UAE Team Emirates dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education-EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Qazaqstan).

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL22, Shahaizereen Abdul Hamid berkata, pihaknya amat berbangga dapat mengumpulkan enam pasukan profesional terbaik dunia dalam senarai WorldTeams Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) tahun ini, sekaligus menghidangkan aksi bermutu tinggi kepada peminat sukan berbasikal tempatan.

“Daripada enam pasukan WorldTeams ini, lima daripadanya akan membuat penampilan kali pertama di LTdL kerana Astana Qazaqstan pernah beberapa kali mengambil bahagian sebelum ini.

“Ini sekaligus menjadikan edisi tahun ini antara yang terbaik pernah dianjurkan dari segi penyertaan pasukan handalan dunia dan bakal menyajikan persaingan kelas dunia kepada peminat berbasikal tempatan dan luar negara,” katanya.

Shahaizereen berkata, tiga pasukan berstatus ProTeams juga sudah mengesahkan penyertaan dalam jelajah edisi ke-26 ini, selepas tidak dianjurkan pada tahun lalu akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pasukan tersebut adalah Drone Harper-Androni Giacattoli dari Itali yang menjadi antara pasukan tetap dalam jelajah kebanggaan negara itu, selain UNO-X Pro Cycling dari Norway dan Alpecin-Deceuninck dari Belgium.

“Pihak kami sedang mengenal pasti satu lagi pasukan untuk mengisi slot pasukan ProTeams ini dan diharap mendapat maklum balas positif daripada pasukan-pasukan yang kita undang kali ini,” kata Shahaizereen lagi.

Beliau berkata, pasukan berstatus UCI Continental Team yang bakal membuat penampilan nanti adalah dua pasukan profesional benua tempatan iaitu Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) serta dua pasukan yang berdaftar di Indonesia – Mula Cycling Team dan Roojai Cycling Team.

Pasukan lain termasuk ARA Pro Racing Sunshine Coast dari Australia, China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) dan Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan serantau yang turut menghangatkan saingan LTdL kali ini adalah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) serta skuad kebangsaan Malaysia.

LTdL22 akan membuka saingan dengan Peringkat 1 bermula dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km; Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.0km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km).

Author

Pilihan Editor