HomeBeritaKes bunuh diri meningkat mendadak pasca pandemik

Kes bunuh diri meningkat mendadak pasca pandemik

PETALING JAYA: Masyarakat perlu menghapuskan stigma bersifat negatif dan menghentikan kecaman ‘berpuaka’ terhadap individu, keluarga yang berhadapan dengan penyakit mental, selain tidak menghakimi kejadian bunuh diri.

Ini berikutan, kerajaan mengesahkan berlaku peningkatan kes bunuh diri secara mendadak sejak awal tahun ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan, kes bunuh diri dalam negara ini meningkat 81% dengan 1,142 kes tahun lalu berbanding 631 kes pada 2020, selain 467 kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Rekod statistik itu berdasarkan laporan polis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, lebih daripada 703,000 kematian akibat bunuh diri dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia, atau purata satu kematian bagi setiap 40 saat.

“Bunuh diri adalah satu daripada 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berusia 15 tahun hingga 29 tahun.

“Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan akan terkesan serta mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

“Faktor penyumbang tingkah laku bunuh diri ini adalah pelbagai dan kompleks, seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan merangkumi kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2022, bertemakan “Let’s TALK Minda Sihat: Bertindak Segera, Harapan Terbina”.

Khairy berkata, KKM proaktif menangani isu tingkah laku bunuh diri, melalui Pelaksanaan Usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri bagi menggalakkan mereka yang terkesan tampil mendapatkan bantuan.

Katanya, KKM akan terus komited mendidik dan melatih masyarakat berhubung masalah kesihatan mental, pencegahan tingkah laku bunuh diri serta menghapuskan stigma terhadap tingkah laku itu.

Selain itu, katanya, masyarakat perlu mengenal pasti tanda awal amaran tingkah laku bunuh diri seperti perubahan tingkah laku mendadak, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling.

“Tindakan segera secara bersama amat penting di setiap peringkat bagi menangani tingkah laku bunuh diri, membabitkan individu, keluarga, komuniti, pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, ahli politik, semua agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Dengan usaha itu, kita berharap individu yang terkesan akan mendapat bantuan dan sokongan, seterusnya dapat menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri,” katanya.

Sementara itu, Khairy memaklumkan, KKM bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkasakan Program Minda Sihat Sekolah, dan merujuk pelajar yang dikenal pasti mengalami masalah kemurungan dan tingkah laku bunuh diri ke fasiliti kesihatan untuk rawatan.

Katanya, kempen advokasi Let’s TALK Minda Sihat turut dilaksanakan kepada kumpulan sasar, secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu, termasuk membabitkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

“KKM juga mengambil inisiatif untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) iaitu pusat yang menempatkan perkhidmatan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Katanya, selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia, masyarakat boleh memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab untuk mencegah tingkah laku bunuh diri dalam pelbagai cara.

“Ia termasuk dengan sentiasa mengambil berat dan bertanya khabar keluarga serta orang sekeliling terutama yang terkesan akibat situasi pandemik COVID-19,” katanya.

Baru-baru ini, wartawan MEDIA VARIASI menenangkan seorang wanita tular dikenali sebagai Laila mendakwa dia dirogol pelanggan ketika mengendalikan servis penapis air di rumah pelanggan.

Ibu tunggal itu cuba membunuh diri kerana fitnah dan kebencian netizen selepas seorang Youtuber mendakwa wanita itu menipu dan kesnya dipercayai suka sama suka.

Laila menghantar video dia berada di balkoni sebuah pangsapuri yang tinggi sambil menangis dan memberitahu berulang kali mahu membunuh diri.

Wartawan MEDIA VARIASI menenangkannya agar tidak meneruskan tindakannya dengan mengambil contoh ada orang lain yang dikenali difitnah lebih teruk sehingga menimbulkan kebencian awam terhadap dirinya, kini kembali bangkit, malah membantu orang lain semula.

Sebelum kejadian, Laila terlebih dahulu membuat laporan polis di balai polis di Sepang menafikan dakwaan dan fitnah Youtuber berkenaan.

Author

Pilihan Editor